USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USMEC TARIK 5000 PENGUNJUNG: DISARAN JADI ACARA TAHUNAN

160314-l

PULAU PINANG, 20 Mac 2014 - Karnival Keusahawanan Universiti Sains Malaysia (USM) atau dikenali sebagai USM Entrepreneurship Carnival (USMEC) yang diadakan di sini baru-baru ini telah menarik penyertaan kira-kira 5000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Adnan Hussein berkata, jumlah tersebut boleh disifatkan sebagai satu kejayaan yang membanggakan, selain menjadi petunjuk bahawa aspek keusahawanan ini amat dekat di hati masyarakat.

Katanya lagi, USMEC yang julung kalinya diperkenalkan oleh USM wajar dijadikan acara tahunan yang dapat memperkasa bidang keusahawanan serta  menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan USM.

``Keusahawanan merupakan satu bidang yang wajar diterokai dan dihayati bersama oleh semua termasuk dalam kalangan para profesor, pensyarah dan penyelidik sehinggalah kepada kakitangan universiti, para pelajar dan masyarakat luar.

``Saya percaya USMEC kali ini yang bertemakan ‘Keusahawanan Untuk Semua’ telah berjaya mencapai matlamatnya iaitu menyediakan satu medan untuk para peserta memperkenalkan dan mempamerkan produk-produk inovasi yang berpotensi untuk dikomersilkan kepada orang ramai,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan upacara penutup karnival tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Perniagaan, Keusahawanan dan Pengurusan Risiko (CBER) USM dan mendapat sokongan banyak pihak termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ See Ching Mey dan Pengarah CBER merangkap Pengerusi USMEC, Datin Dr. Joriah Muhammad.

Tambah Adnan, penganjuran karnival ini juga penting dalam membantu pihak-pihak yang terlibat mencari rakan kongsi perniagaan (business matching) sama ada untuk berkongsi kepakaran atau mencari peluang pemasaran, termasuk dalam mendapatkan sumber pembiayaan/dana.

160314-j

``Dalam konteks ini USM melalui CBER akan terus memainkan peranannya untuk mendedahkan pensyarah, penyelidik mahupun pelajarnya kepada ciri-ciri usahawan demi meningkatkan kesedaran, kefahaman dan minat mereka tentang bidang keusahawanan,’’ ujar beliau lagi.

Adnan turut berkata, USM amat berbangga kerana semakin ramai pelajar USM mula menunjukkan minat dan telah berkecimpung dalam bidang keusahawanan secara serius.

``Ini dapat dilihat dari kejayaan pelajar membuka kedai di Dataran Keusahawanan di Kompleks RST dan juga di Uptown Mall, serta tertubuhnya Kelab MyAgrosis USM.

``Ini merupakan suatu perkembangan yang baik kerana ia seiring dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik tetapi juga dalam kemahiran sahsiah sekaligus meningkatkan potensi dalam diri seseorang mahasiswa,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 976

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024