MAHASISWA KEJURUTERAAN REBUT PELUANG IKUTI EKSPO KERJAYA 2014
NIBONG TEBAL, 20 Mac 2014 – Dewan Utama Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) dibanjiri mahasiswa yang tidak melepaskan peluang keemasan mendapatkan maklumat kerjaya sempena penganjuran Ekspo Kerjaya 2014 yang dilancarkan di kampus cawangan itu, di sini semalam.
Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd Ishak berkata, sambutan terhadap program yang masuk edisi ke-8 tersebut disifatkan meningkat tahun demi tahun, dan ia bukan sekadar dilihat dari penglibatan pelajar malah turut melibatkan peningkatan dalam jumlah pempamer.
Katanya, peningkatan memberangsangkan tersebut disebabkan beberapa faktor termasuk keupayaan USM dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang berkualiti, di samping impak daripada hasil yang dilihat melalui penganjuran ekspo berkenaan tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, Ekspo Kerjaya tersebut juga telah mendapat penyertaan dari pihak antarabangsa apabila ada syarikat dari Jepun, Singapura, Thailand dan sebagainya yang turun untuk mencari bakat yang bakal keluar ke dunia kerjaya sedikit masa kelak.
``Penyertaan ini pula bukannya kali pertama. Para pempamer kebanyakannya telah bersama kita pada pengajuran terdahulu dan kini kembali untuk terus mencari graduan berkualiti yang dihasilkan USM. Ini menunjukkan program ini telah mempunyai impak yang tersendiri.
``Kita juga telah menjalankan kaji selidik terhadap keberkesanan program dan data menunjukkan dari 195 responden yang terlibat, 65 peratus daripada telah mengikuti ekspo kerjaya dan daripada jumlah itu pula, 45 peratus daripadanya berjaya mendapat tempat dalam pekerjaan melalui ekspo kerjaya,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas yang diadakan sejurus tamat majlis pelancaran Career Fair 2014 di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd, Zulkifly Abdul Rahman pula berkata, beliau amat kagum dengan usaha yang dijalankan oleh para pelajar USM dalam mengendalikan program kerjaya tersebut.
Katanya, pihak Renesas sentiasa mencari bakat-bakat baru untuk diserapkan ke organisasi mereka dan komited melatih garduan yang berkelayakan dan mempunyai minat yang tinggi untuk berjaya di alam pekerjaan.
``Uniknya USM dapat dilihat melalui bakat-bakat yang dilatih. Graduan USM mempunyai kelebihan khususnya dalam aspek penguasaan bahasa Inggeris dan cara mereka berkomunikasi.
``Justeru, paltform seperti ekspo Kerjaya ini amat signifikan untuk kedua-dua pihak saling berinteraksi, selain turut memberi peluang kepada majikan mencari bakat-bakat yang berkualiti,’’ ujar beliau.
Pendapatnya turut dipersetujui oleh Ketua Pengurus Sapura Kencana Petroleum, Simon Yeoh yang juga berpendapat program tersebut telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang oleh para pelajar.
``Ini pertama kali pihak kami menyertai ekspo kerjaya di USM dan ia adalah satu pengalaman yang mengejutkan. USM nyata telah menunjukkan satu prestasi yang membanggakan dan berbeza dengan ekspo-ekspo yang telah kami sertai sebelum ini,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1289