NC USM SATU-SATUNYA WAKIL MALAYSIA PROJEK REFORMASI PENDIDIKAN JEPUN
PULAU PINANG, 20 Mac 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman adalah satu-satunya wakil dari luar Jepun yang dilantik sebagai ahli Majlis Tri-Institutional Collaborative/Cooperative Educational Reform Project sebagai sebahagian daripada National University Reform Enhancement Promotion Project, Ministry of Education, Sports, Science and Technology (MEXT) Jepun.
Naib Canselor USM itu telah menghadiri mesyuarat yang diadakan di Tokyo pada 19 Mac 2014.
Ahli-ahli Majlis tersebut terdiri daripada Presiden Toyota Technological Institute Hiroyuki Sakaki, Presiden Toyota Motor Kyushu, Inc. Iwao Nihashi, Pengarah Eksekutif Japan Society for the Promotion of Science (JSPS) Nobel Laureate Makoto Kabayashi, Presiden Science Council of Japan Takashi Oonishi, Presiden dan CEO Mitsubishi Chemical Holdings Corporation Yoshimitsu Kobayashi, Presiden Tokyo Institute of Technology (TIT) Yoshinao Mishima, Presiden Nagaoka University of Technology (NUT) Koichi Niihara, Presiden Toyohashi University of Technology (TUT) Yoshiyuki Sakaki dan Presiden Institute of National Colleges of Technology (KOSEN) Hidefumi Kobatake.
“Saya amat terharu dengan penghormatan ini memandangkan saya satu-satunya dari Malaysia dan dari luar Jepun yang berada di dalam jawatankuasa ini,” kata Omar.
Projek ini adalah untuk menyediakan program pendidikan yang dapat mengukuhkan hubungan global dan pembangunan sumber manusia yang berorientasikan inovasi yang antara lain termasuklah membangunkan rangkaian kampus sebagai satu platform kerjasama dan penyelarasan, mewujudkan hub kerjasama antarabangsa dan kolaborasi, mewujudkan hubungan industri-akademia-kerajaan yang kukuh berasaskan industri tempatan dan membangunkan sinergi pengajian tinggi dalam kalangan institusi-institusi yang ada.
Naib Canselor bersama-sama ahli Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Jamaluddin Hassan turut mengunjungi beberapa institusi pengajian tinggi di Jepun di samping Naib Canselor menyampaikan syarahan bertajuk “Overview of Malaysian Education Transformation and USM's Role as the Apex University” kepada pensyarah dan pelajar di TUT yang diikuti oleh soal jawab bagaimana USM memacu penyelidikan dan ke arah mana penyelidikan dan konteks kemajuan masa hadapan.
Omar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden TUT Dr Yoshiyuki Sakaki, Naib-naib President TUT dan pegawai-pegawai kanannya. Dalam pertemuan ini kedua-dua pihak bersetuju untuk melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam penyelidkan dua hala dalam beberapa bidang termasuk Sains Neuro, Sains Bahan Nano dan Kejuruteraan Elektronik berskala tinggi.
“Pada masa ini TUT dan USM sudah pun menubuhkan sebuah pusat kolaborasi yang dinamakan TUT-USM Centre di Pulau Pinang dan mula melakukan program pendidikan bersama.
Hadir sama dalam pertemuan yang diadakan ialah Pengarah Pejabat Pengurusan Kreativiti dan Penyelidikan USM Profesor Madya Dr. Lee Keat Tiong dan alumni USM yang menjadi pensyarah di TUT Dr Wai Kian Tan yang melanjutkan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Bahan dan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari TUT.
“Sebagai Naib Canselor, kami berbangga dengan pencapaian alumni USM ini,” tambah Omar.
Dalam lawatan yang sama, Naib Canselor USM itu turut mengadakan perbincangan singkat dengan pelajar-pelajar Malaysia di TUT yang rata-ratanya adalah cemerlang.
Omar menasihatkan mereka agar tidak lupa kepada alma mater mereka iaitu TUT dan meneruskan hubungan dengan TUT selepas kembali ke tanahair. Terdapat juga beberapa orang dari dalam kalangan mereka yang akan berijazah di TUT dan akan terus bekerja di Jepun. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Ehsan Toyohashi University of Technology (TUT)
- Created on .
- Hits: 1008