USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HASIL KIT KESAN BAKTERIA: INOVASI BANTU CEGAH KARAT

DSC 5203

PULAU PINANG, 21 Mac 2014 - Penemuan sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Universiti Sains Malaysia (USM) diyakini dapat menyelesaikan masalah pengaratan yang disebabkan oleh bakteria.

Ketua Penyelidik merangkap pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) USM, Dr. Zaini Abdul Halim berkata, rekacipta berkenaan akan memberi kelegaan besar buat industri yang berkait rapat dengan perkapalan, minyak dan gas serta yang berkaitan dengan perpaipan.

Katanya, Kit Elektonik Pengesan Bakteria Penurun Sulfat (Sulphate Reducing Bacteria) atau EZ SRB Kit ini adalah inovasi unik yang belum pernah dihasilkan di negara ini, malah berupaya untuk mengesan bakteria dalam tempoh sejam.

``Bakteria penurun sulfat dalam jumlah yang banyak akan menyebabkan kemusnahan besar termasuk masalah karat serius kepada sistem perpaipan mereka, selain membawa kerugian dan perlu melalui kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang rumit.

``Dengan kit ini, masalah tersebut dapat diatasi dengan cara yang paling efektif, sekaligus dapat memberi pencegahan awal dan menyusun jadual penyelenggaraan dari semasa ke semasa,’’ ujar beliau.

DSC 5247

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas memperkenalkan produk tersebut di ni hari ini. Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hadir mempengerusikan sidang media tersebut.

Turut hadir ialah penyelidik bersama, Tan Earn Tzeh, Umadevi Chandaran dan Vincent Kok Chin Keong. EZ SRB Kit turut meraih pingat emas dalam Malaysia Technology Expo 2014 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Zaini, kit tersebut mempunyai kelebihan dalam mengesan bakteria secara konsisten kerana ia merekod dan menyimpan data secara berterusan yang membolehkan kerja pemantauan menjadi lebih mudah.

``Sehingga kini kebanyakan industri menggunapakai kaedah konvensional yang bukan sekadar memakan masa yang panjang untuk mengesan bakteria iaitu sehingga 18 jam, malah turut hanya dilihat dengan mata kasar tanpa ada sistem merekod data,’’ katanya.

Dalam pada itu, Omar pula berkata, pengaratan adalah satu perkara yang serius dan boleh menyebabkan kerugian sehingga berbilion ringgit kepada industri yang berkaitan jika dilihat dari aspek ekonomi.

``Justeru penyelidikan seumpama ini berpotensi untuk dikomersialkan kerana ia memberi satu penyelesaian baru yang boleh diaplikasikan oleh pihak industri,’’ ujar beliau lagi.

Kit ini juga tegasnya adalah satu contoh kajian multidisiplin yang menggabungkan kepakaran rentas bidang termasuk kejuruteraan dan sains biologi yang berupaya menghasilkan satu inovasi yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan dalam industri tertentu. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1206

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024