KONSERT SOC TAMPILKAN MUZIK KONTEMPORARI GUNA ALAT MUZIK TRADISIONAL CINA
PULAU PINANG, Mac 2014 - Sekali lagi Konsert Sekretariat Orkestra Cina Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan di Dewan Budaya baru-baru ini telah berjaya memukau penonton dari dalam dan luar kampus yang membanjiri dewan dengan membawakan persembahan yang begitu menarik dan amat mengagumkan.
Turut terpukau ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey yang hadir untuk menyaksikan persembahan orkestra pada malam itu sekaligus merasmikan majlis pembukaan konsert untuk kali ke-6 yang bertemakan “Reminiscence of Melodious Past”.
Menurut Dato’ Susie, beliau kagum dengan konsert kali ini kerana ia memperlihatkan percubaan berani ahli-ahli Sekretariat Orkestra Cina (SOC) USM memainkan lagu-lagu kontemporari dan genre baru yang lebih serasi dengan generasi masa kini menggunakan alat-alat muzik tradisional Cina seperti liuqin, pipa, yangqin, erhu, gendang, seruling dizi dan sebagainya.
“Ternyata terdapat kelainan dari segi persembahan dan gubahan muzik berbanding dengan konsert-konsert sebelum ini yang saya hadiri kerana konsert kali ini lebih menumpu kepada kreativiti dan keanggunan ahli-ahli orkestra untuk mempersembahkan muzik dari lagu-lagu ‘pop’, lagu folk barat, lagu tema filem, lagu patriotik Malaysia, malah lagu tema siri anime Jepun yang terkenal.
“Konsert ini bukan sahaja dapat memperkenalkan keunikan dan keistimewaan seni muzik tradisional masyarakat Cina dan budaya masyarakat Cina khususnya kepada generasi muda dan juga kepada masyarakat lain, tetapi juga menyediakan satu wadah untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan pelajar USM untuk bermain alat-alat muzik tradisional Cina,” kata Dato’ Susie.
Tambah beliau lagi, ini penting kerana ia akan memastikan terdapat kesinambungan dari segi keahlian dalam kalangan siswa-siswi USM, dengan SOC kini mempunyai lebih daripada 100 ahli sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2009.
Sementara itu, menurut Yang Dipertua SOC, Benedict Lian Shi Xiang, Sains Kajihayat Tahun 3, Orkestra kali juga mendapatkan sambutan baik daripada universiti tempatan yang lain yang mana seramai lebih 60 siswa-siswi dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan juga daripada Kampus Kejuruteraan USM telah menerima jemputan untuk menghadiri konsert tersebut sekaligus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara siswa-siswi dari universiti-universiti tersebut.
“Sekretariat ini amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Universiti yang sentiasa menyokong dan memberi ruang kepada kami untuk mempromosikan budaya masyarakat Cina terutamanya kesenian dan muzik masyarakat Cina bukan sahaja kepada warga kampus malah masyarakat luar kampus.
“Selain itu, Pusat Ko-kurikulum USM juga telah bermurah hati membenarkan kami menggunakan dewannya sebagai tempat latihan orkestra dan simpanan alat-alat muzik kami selama ini, dan kami menghargai amalan berkongsi kemudahan ini yang sering dipraktikkan di Universiti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Projek Konsert SOC, Ang Yong Zhi, Perakaunan Tahun 2, turut berbangga dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli-ahli jawatankuasanya yang berusaha gigih untuk mendapatkan penajaan daripada beberapa syarikat luar bagi menjayakan konsert kali ini.
“Kami telah mula mengadakan persiapan sejak 3 bulan yang lalu termasuk mengikuti kem latihan intensif, yang mana kami telah tinggal bersama dalam suasana kehidupan berkomuniti (community living) dan berpeluang mengasah kemahiran berinteraksi, mempelajari kemahiran merancang dan menguruskan sesuatu projek,” kata Ang lagi.
Turut hadir ialah Ng Ka Hoo, alumni USM yang kini bekerja di Thailand yang juga pengasas dan penasihat pelajar bagi Sekretariat tersebut.
Dianggarkan seramai lebih 500 orang telah menghadiri konsert tahunan tersebut.
SOC USM ialah sebuah sekretariat berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM yang ditubuhkan khasnya untuk mempromosi dan memartabatkan seni muzik dan alat-alat muzik tradisional Cina dalam kalangan warga kampus khususnya siswa-siswi di samping menyediakan platform untuk siswa-siswi yang berminat dan berbakat untuk mempelajari serta meningkatkan kemahiran mereka bermain alat-alat muzik tradisional Cina.
Sehubungan itu, SOC turut mengalakkan siswa-siswi daripada masyarakat lain untuk menyertai kelas Orkestra Cina yang diadakan setiap hari Selasa dan Khamis di Pusat Kokurikulum USM. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1688