USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RM15,000 UNTUK DIREBUT: ADWAVE ANJUR PERTANDINGAN VIDEO VIRAL

DSC 0078

PULAU PINANG, 24 Mac 2014 – ADWAVE, projek tahun akhir pelajar jurusan Komunikasi Pemujukan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) akan menganjurkan pertandingan video viral berkenaan kepentingan menjaga alam sekitar dan kelestarian.

Dengan RM15,000, trofi dan sijil penghargaan untuk dimenangi, buat julung kalinya juga pertandingan tersebut boleh disertai oleh seluruh rakyat Malaysia dalam menzahirkan idea dan kreativiti mereka terhadap isu kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar.

Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad berkata, pertandingan yang julung kali diadakan dengan IWK bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat berkenaan kepentingan memelihara alam sekitar.

Katanya, penganjuran dengan kerjasama penuh IWK adalah manifestasi terhadap fokus utama kedua-dua pihak dalam mewariskan alam sekitar yang lebih baik kepada generasi akan datang.

"USM melalui ADWAVE komited dalam memberi kefahaman berkenaan usaha untuk meningkatkan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

"ADWAVE yang masuk edisi ke-17 penganjurannya telah dikenali sebagai satu platform yang mengangkat idea-idea kreatif ke tahap yang tinggi. Jika sebelum ini fokus hanya kepada para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kini ia telah berkembang ke penglibatan komuniti masyarakat,’’ jelas beliau.

DSC 0120

Dalam pada itu, Pengurus Penjenamaan, Komunikasi Pemasaran dan Penerbitan IWK, Shebley Haslan Abdul Majid pula berkata, penglibatan IWK dalam kempen ADWAVE menjurus kepada usaha bersama dalam mendekati komuniti di seluruh Malaysia.

Katanya, IWK yang akan menyambut ulangtahun ke-20 perkhidmatan pada tahun ini turut melihat peluang untuk kembali menyumbang kepada masyarakat, dalam masa yang sama memberi kesedaran berkenaan kepentingan menjaga khazanah semulajadi untuk generasi akan datang.

"Kita memberi peluang untuk masyarakat berkarya dan menzahirkan apa yang ada di kotak fikiran mereka berkaitan isu pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian, dalam masa yang sama mendapatkan persepsi masyarakat terhadap IWK.

"Pada akhirnya nanti setiap karya yang terpilih akan digunakan oleh IWK dalam mempromosikan kempen pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, pertandingan bertemakan Perang Dunia Y: Generasi Y Meneruskan Usaha Generasi X dalam Memperjuangkan Kelestarian Alam Sekitar tersebut akan mula dibuka pada 25 Mac ini.

Pertandingan video berdurasi dari tiga hingga ke lima minit itu perlu menepati kriteria tertentu termasuk memasukkan elemen kelestarian, peranan kritikal IWK dalam memelihara alam sekitar, mewujudkan kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan masyarakat dan sebagainya.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan yang dianjurkaan dalam dua kategori iaitu IPT dan Terbuka tersebut boleh diperoleh dengan melayari laman facebook rasmi ADWAVE.USM – IWK 2014 iaitu https://www.facebook.com/adwave2014 atau hubungi Joanne Lim di talian 014-3230188 dan Teo Xsu Ting di talian 016-4001525.

Selain pertandingan video viral, ADWAVE turut akan menganjurkan pelbagai program lain termasuk jelajah kelestarian di beberapa lokasi tertentu dalam negara, bengkel dengan tajuk Menjalankan Kempen Alam Sekitar Dengan Menggunakan Teknologi Mobil dan Media Sosial, pameran alam sekitar dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Shazreen Sahimi

  • Created on .
  • Hits: 1206

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024