USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM WUJUDKAN LINGKARAN ILMU DAN MENARA SEJAHTERA

26032014-2

PULAU PINANG, 26 Mac 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) menjenamakan semula beberapa kawasan bangunan yang menempatkan pusat-pusat pengajian dan pusat penyelidikan  untuk memberikan penekanan kepada beberapa aspek kekuatan ilmunya agar lebih dikenali dan dikongsi oleh semua pihak.

“Misalnya kita akan wujudkan satu lingkaran ilmu dalam kalangan bangunan-bangunan yang menempatkan beberapa pusat pengajian yang berkongsi kawasan bersama-sama seperti Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) yang sedang distruktur semula, Pusat Kajian Pengurusan dan Pembangunan Islam (ISDEV) yang mengambil alih pejabat Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera dan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB),” kata Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika mengadakan lawatan kerja di sekitar kampus hari ini.

26032014-3

Menurutnya lagi, USM juga sedang mengusahakan agar bangunan menara di belakang GSB yang dahulunya menempatkan pejabat Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) akan dikenali sebagai Menara Sejahtera yang menempatkan pejabat Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE Penang) dan Pejabat Kampus Sejahtera.

DSC 0043

“Di sekitar bangunan ini para pelajar akan membangunkan konsep pertanian hijau dan memanfaatkannya sebaik mungkin sebagai model dalam mewujudkan pejabat sejahtera atau green office melalui kerjasama dengan pihak-pihak seperti Pusat Penyelidikan dan Latihan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (CETREE) yang selama ini telah pun bekerjasama dengan pelbagai pihak lain untuk melaksanakan pejabat sejahtera,” tambah Omar lagi.

Terdahulu Naib Canselor turut melawat pejabat CETREE, Pusat Inovasi & Produktiviti Pentadbiran Awam (PiPPA) dan pejabat Projek Pemindahan Ilmu (KTP) dan diberikan taklimat khas.

26032014-1

Kemudiannya Naib Canselor melihat dari dekat Rumah Tradisional yang dibangunkan oleh Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PBP) sejak tahun tujuh puluhan yang dikemudiannya digunakan juga untuk “showcase” kepada pelajar antarabangsa di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjremahan.

“Rumah ini akan diserahkan kembali kepada PP PBP  untuk melaksanakan beberapa program yang sesuai termasuk menjadikan pusat untuk pengajian agama  di samping tujuan-tujuan lain setelah dibuat ubahsuaian yang perlu,” kata Omar.

Naib Canselor turut melihat dari dekat pejabat Penerbit USM dan melawat ke tempat simpanan buku-buku serta Taman Buku.

Beliau mencadangkan agar Penerbit USM diberikan ruang yang bersesuaian di dalam Perpustakaan Hamzah Sendut bagi mempromosikan buku yang diterbitkan untuk faedah masyarakat kampus.

“Saya fikir Penerbit USM perlu disokong dan dibantu untuk memastikan hasil terbitan mereka dapat sampai kepada khalayak apatah lagi di kawasan-kawasan yang dikunjungi pelajar dengan meletakkan poster, komputer untuk dilayari pengguna senarai buku yang ada serta kaedah-kaedah lain yang sesuai tanpa banyak memakan ruang,” tegas Omar.

Naib Canselor dalam rangka lawatan ke seluruh kawasan kampus USM termasuk di kampus-kampus Kesihatan dan Kejuruteraan.

26032014-4

26032014-5

Dua hari lepas beliau mengadakan lawatan ke pembangunan projek Bangunan Pemindahan Ilmu Toray, pengubahsuaian Bilik Kenamaan Dewan Tuanku Syed Putra, kerja mengubahsuai dan menaiktaraf bangunan serta kemudahan di Bangunan E42 untuk dijadikan Satelit Canselori USM dan juga pejabat Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera untuk melihat dari dekat usaha-usaha yang dibuat dan penggunaan ruang yang ada di dalam kampus.

“Saya akan terus mengadakan lawatan mengejut ke seluruh kampus terutamanya untuk melihat sendiri ruang-ruang yang ada untuk dikongsi dan dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukannya yang saya percaya masih banyak terdapat di dalam kampus yang seharusnya dioptimumkan penggunaannya,” kata Omar.

Naib Canselor sedang dalam rangka mengadakan lawatan ke pusat-pusat pengajian dan pusat tanggungjawab dalam masa yang terdekat secara berterusan. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa/Yong Check Yoon

 

  • Created on .
  • Hits: 1306

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024