EKSPEN 2014: NAIB CANSELOR LANCAR BANK RESUME
PULAU PINANG, 28 Mac 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) kini melancarkan inisiatif terbaru untuk pelajarnya yang dikenali sebagai Bank Resume, satu sistem pengkalan data yang dapat membantu menghubungkan bakal graduan dengan dunia kerjaya dan industri.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, Bank Resume dibina untuk membantu graduan USM meneroka peluang kerjaya dalam pelbagai bidang melalui satu sistem resume yang komprehensif.
Katanya, melalui Bank Resume juga, mahasiswa tahun akhir hanya perlu melengkapkan butiran diri dalam Bank Resume dan sistem akan memproses butiran tersebut menjadi resume lengkap untuk kegunaan pelajar.
"Kita yakin bahawa syarikat-syarikat akan mengambil peluang ini untuk mendapatkan resume pelajar-pelajar yang lahir dari universiti APEX, yang dilengkapi dengan pelbagai nilai tambah yang telah direkod secara sistematik melalui MyCSD.
"Industri yang berminat untuk mendapatkan graduan USM boleh mendaftar di portal ‘Bank Resume’ dan peluang yang lebih terbuka dalam pengambilan graduan USM khususnya sebagai pekerja di organisasi masing-masing,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Ekspo Kerjaya Dan Pendidikan (EKSPEN) 2014, yang menampilkan penglibatan 48 syarikat dan organisasi terpilih di sini hari ini.
EKSPEN 2014 yang bertemakan “A Head Start to Your Dream Career” masuk edisi ke-13 penganjurannya dan dikelolakan sepenuhnya oleh mahasiswa USM dengan kerjasama Pusat Penempatan Graduan (PPG), Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM.
Omar juga berkata, para pelajar perlu lebih kreatif dalam apa yang dilakukan selain mempunyai rekod kelulusan yang baik. Tidak dinafikan akademik ada tumpuan pertama pelajar namun dengan pemikiran kreatif dan mempunyai minda yang global serta berfikiran antarabangsa, seorang pelajar itu akan menampakkan kelebihan daripada calon-calon yang lain.
Menurut beliau lagi, penganjuran ekspo sebegini mampu memberi peluang kepada para graduan dan sesiapa yang berminat dalam merancang kerjaya dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerjaya yang mereka kehendaki selaras dengan permintaan pasaran kerjaya semasa.
Malah ujarnya, menerusi program tatacara penulisan resume dan temuduga yang dikendalikan oleh Mentor Rakan Siswa (MRS) serta “Kiosk Jobhouse” sempena EKSPEN, ia turut diharapkan mampu menjadi platform kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pihak majikan di samping mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk membuat perancangan serta mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia pekerjaan.
"Kita sedia maklum, cabaran yang dihadapi para majikan pada hari ini adalah untuk memilih calon-calon yang berkelayakan daripada aspek kelulusan akademik yang tinggi dalam pelbagai jurusan yang diperlukan, di samping memiliki sahsiah yang mantap dari segi integriti, kredibiliti dan peribadi.
"Oleh yang demikian, para graduan tidak boleh terlalu memilih pekerjaan dan terus berusaha secara positif dan merebut apa sahaja peluang yang ada di samping melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang dapat menonjolkan kekuatan dan keistimewaan berbanding yang lain,’’ ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor BHEPP, Profesor Dr Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan Pengarah Projek EKSPEN 2014, Muhammad Daniel Adam Janudin. Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1169