USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EARTH HOUR 2014 USM MENDAPAT SAMBUTAN HANGAT LEBIH 4,000 MAHASISWA

290314-1

PULAU PINANG, 29 Mac 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) sangat serius dalam menjayakan agenda kelestarian universiti dan menyeru setiap warganya tidak kira pelajar atau staf untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab menjalankan amalan penjimatan tenaga untuk universiti.

Demikian kata Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dalam ucapannya ketika merasmikan pelancaran program sambutan “Earth Hour 2014” dan juga “Friday Earth Hour” di sini malam ini sebagai tanda sokongan kepada sambutan “Earth Hour” yang disambut di seluruh dunia pada 29 Mac setiap tahun.

290314-2

Menurut beliau lagi, selain menjadi tanda simbolik kepada kempen penjimatan tenaga, kita semua patut berfikir lebih daripada itu, iaitu menjadikan program ini suatu wadah untuk mengamalkan praktis terbaik, mendidik dan menyedarkan warga kampus untuk mencakna persekitaran demi kelestarian dan kesejahteraan masa depan manusia sejagat.

“Kehadiran lebih 4,000 mahasiswa pada malam ini walaupun angin kuat dan hujan renyai melambangkan citra perpaduan dan kekuatan mahasiswa Universiti APEX menyokong dan memperjuangkan isu kelestarian dan kesejagatan yang selama ini menjadi agenda utama USM,” kata Ahmad Shukri.

Sementara itu, bagi Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2013/2014, Mohamad Shafiq bin Kamaruddin, sambutan hangat Earth Hour kali ini menunjukkan kejayaan penghakupayaan Sekretariat Kampus Sejahtera dan mahasiswa-siswi yang diberikan oleh pihak Universiti dalam menjayakan program-program seumpama ini yang mampu memberi impak positif yang besar kepada generasi akan datang.

DSCF1182

Program sambutan “Earth Hour 2014” dan “Friday Earth Hour” peringkat USM ini adalah di bawah penyelarasan Sekretariat Kampus Sejahtera USM dengan mendapat kerjasama daripada Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baru, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE & GT) USM dan sokongan penuh daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP USM), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), Rakan Muda USM, Persatuan Kebudayaan India (PKI), Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua dan Sekretariat Sukarelawan India.

Untuk program “Friday Earth Hour” yang diinisiatifkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), pelajar di setiap desasiswa akan menutup lampu bilik selama satu jam bermula 9.00-10.00 malam setiap hari Jumaat bermula pada malam itu.

“Program ini diharap dapat mendidik warga kampus berkenaan konsep amalan kecekapan tenaga yang jika berjaya diamalkan, akan memberi pulangan penjimatan tenaga elektrik kepada universiti kerana setiap lampu kalimantang panjang ditutup untuk satu jam boleh menyumbang sebanyak 1 sen.

“Bayangkan jika hampir 5,000 pelajar USM menutup lampu setiap hari Jumaat untuk satu jam sudah tentu nilai 1 sen menjadi lebih besar kerana setiap orang menyumbang dan berkorban untuk universiti dan kesejahteraan bumi,” jelas Ahmad Shukri lagi.

Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti yang digerakkan oleh persatuan pelajar sendiri pada malam itu, antaranya larian “RUN@USM” mengelilingi kampus yang berjaya menarik penyertaan lebih 1,300 orang pelajar.

DSCF1201

Aktiviti lain termasuk Wayang Pacak, “Light Painting”, Rumah Berhias, “Pocket Plant” dan nyalaan cahaya “We Love USM” melibatkan 5,000 pelita tanah liat yang disusun selebar 25 meter dan 45 meter panjang.

Turut hadir ialah Pengarah Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM Dr. Nazarudin Zainun, Penyelaras Sekretariat Kampus Sejahtera Mohammad Shafiq bin Abdul Aziz, Pengarah Projek Sambutan Earth Hour 2014 Muhammad Afi Adli Hasnul, serta wakil-wakil penggawa dan Yang DiPertua Persatuan-persatuan yang terlibat. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1295

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024