USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELUAR DARI ZON SELESA: PEJABAT TRANSFORMASI TERUSKAN AGENDA PERUBAHAN

010414-1

PULAU PINANG, 1 April 2014 - Pejabat Transformasi akan meneruskan agenda perubahan di dalam kalangan warga universiti melalui penstrukturan semula yang dibuat sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Dato’ Haji Ellias Haji Zakaria berkata, Pejabat Transformasi walau pun berhadapan dengan pelbagai kesukaran akan berusaha menunaikan tanggungjawab yang ada bagi menunaikan hasrat universiti.

“Pejabat ini akan menjadi mediator dalam kalangan semua jabatan dalam melaksanakan agenda transformasi yang diamanahkan apatah lagi dengan adanya staf dari Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PiPPA) yang berpengalaman yang kini ditempatkan di sini,” katanya dalam Majlis Penstrukturan Semula Latihan - Tranformasi USM hari ini.

010414-2

Sementara itu, berucap pada majlis yang sama, Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menzahirkan kesyukurannya kerana proses penstrukturan semula Pejabat Transformasi berjalan lancar melalui usaha bersama PiPPA, Pejabat Transformasi dan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) Jabatan Pendaftar.

“Saya dapat melihat satu proses dinamik yang amat bermakna kepada universiti dan Pejabat Transformasi sendiri melalui satu perubahan kepimpinan yang seiring dengan kedinamikan itu dalam hanya tiga tahun ditubuhkan,” kata Omar.

Menjelaskan hal ini, Naib Canselor berkata, USM sendiri melalui fasa perubahan yang amat dinamik dan Pejabat Transformasi akan terus berusaha untuk menanamkan budaya perubahan yang diinginkan secara berterusan biar bagaimana payah sekali pun.

Katanya lagi, sebagai sebuah universiti yang menggalas tugas untuk menerajui kecemerlangan melalui APEX, USM dan warganya perlu sedar tentang kepentingan untuk bersedia menjadi berbeza daripada orang lain dalam konteks perubahan dan sanggup berhadapan dengan segala cabaran yang ada seperti mana analogi penerimaan teknologi dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu keluar dari zon selesa seperti mana kita perlu bersedia menerima teknologi baharu yang walau pun kelihatan janggal pada awalnya, tetapi lama kelamaan akan menjadi amalan dan membawa kita kepada fasa baharu yang lebih sesuai dengan keperluan masa hadapan, sama seperti cara kita menjalankan latihan serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tugas untuk menunaikan tanggungjawab yang ada,” tegas Naib Canselor.

Terdapat ramai wira tidak didendang dalam mencapai kedudukan yang diinginkan, termasuk melalui program-program latihan universiti selama ini, malah juga PiPPA telah dirancang untuk melaksanakan amanah ini, namun universiti melihat kepada keperluan untuk mewujudkan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik & Penasihatan & Pembangunan Pelajar (CDAE) untuk membantu ahli-ahli akademik di samping kepentingan latihan sebagai satu elemen penting di bawah program Transformasi.

“Ketiga-tiganya perlu berjalan seiring, apatah kagi sekarang ini USM mempunyai kira-kira 100 entiti yang bergerak untuk pembangunan universiti secara berterusan yang perlu diperkasakan dan dipastikan berjalan lancar, kerana itu keluar dari zon selesa amat penting untuk kita terus melakukan  perubahan secara konsisten dan  menjadi institusi yang mampu berubah dan bangun tiap kali jatuh malah bersedia untuk terus melakukan perubahan walau apa pun terjadi,” tegas Omar.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah PiPPA Dr. Hj. Musa Ali dan Timbalan Pendaftar Kanan BPSM, Hji Mohd. Saad Din serta seluruh warga Pejabat Transformasi. 

Pada akhir majlis, Dr. Haji Musa Ali dan Dato’ Haji Ellias Haji Zakaria bertukar dokumen persefahaman dan penstruktiuran semula Pejabat Transformasi selaras dengan persefahaman untuk pertukaran sebahagian dari staf PiPPA ke Pejabat Transformasi dengan disaksikan oleh Profesor Dato’ Dr. Omar Osman. - Teks: Mohamad bin Abdullah

 

  • Created on .
  • Hits: 1116

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024