USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DUKACITA DAN PANDANG SERIUS KEMATIAN PELAJAR

DSC 0090

PULAU PINANG, 1 April 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) memandang serius kes kematian pelajar tahun 4 Sains Farmasi, John Yip Kar Yong, 23, yang meninggal dunia secara mengejut Ahad lepas di kampus USM.

Mayatnya yang tidak dikenali ditemui berhampiran Desasiswa Restu USM tengah malam Ahad dan dilaporkan kepada pihak polis dan pihak-pihak yang berkaitan dan kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.  Hasil siasatan oleh pihak berkuasa semalam mendapati mangsa adalah pelajar USM.

“Ini adalah kes pertama berlaku seumpama ini, yang akan kita siasat dan teliti punca kejadian serta faktor-faktor lain yang mungkin ada melalui penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh seorang Timbalan Naib Canselor,” kata Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Perincian tugas dan terma rujukan Jawatankuasa tersebut sedang diteliti oleh Pejabat Perundangan untuk melihat keseluruhan aspek yang berkaitan dengan keselamatan pelajar dan hal-hal lain secara menyeluruh untuk mengelakkan daripada berulang.

 

DSC 0077

 Naib Canselor USM juga menyeru para pelajar USM seluruhnya yang berjumlah hampir 30,000 orang untuk saling membantu atau memaklumkan kepada mana-mana pihak yang dapat membantu dalam kalangan pegawai desasiswa dan pusat pengajian atau mana-mana pihak yang dapat dirujuk jika mempunyai rakan-rakan yang kelihatan bermasalah atau menghadapi tekanan supaya pertolongan sewajarnya dapat diberi demi mengelakkan masalah seperti ini timbul pada masa hadapan.

“Hakikatnya kita tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi sehingga berlaku kejadian malang ini dan jawatankuasa yang ditubuhkan itu nanti akan segera menjalankan tugasnya dan menyediakan cadangan kepada universiti dari semua aspek, malah pada masa yang sama kita turut menggerakkan kumpulan kaunselor dan mentor untuk membantu dalam menangani masalah pelajar secara lebih menyeluruh,” kata Omar lagi.

Beliau menzahirkan rasa dukacita yang amat sangat atas pemergian pelajar tersebut dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan kepada universiti memandangkan pelajar berkenaan berada pada tahun akhir pengajian dan rekod menunjukkan tidak mempunyai sebarang masalah akademik.

“Universiti mengharapkan agar keluarganya bersabar dengan kehilangan ini dan universiti juga akan berusaha membantu apa yang boleh untuk meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka,” tambah Omar lagi.

Ditanya tentang masalah keselamatan lain termasuk keperluan kepada kamera litar tertutup (CCTV), Naib Canselor menjelaskan, USM tidak berhasrat untuk menjadikan kampus sebagai kawasan yang dipantau pergerakan pelajarnya secara terperinci sehingga menyebabkan perasaan kurang selesa terutamanya dalam kalangan mereka yang tinggal di desasiswa.

“Kampus universiti sebagai sebuah pusat ilmu perlu terbuka kepada masyarakat walau pun pada prinsip asasnya kita tidak pernah berkompromi dengan isu keselamatan pelajar dan orang awam, namun ia perlu berjalan seiring,” tambah Naib Canselor.

Walau bagaimanapun Universiti akan melihat semua perkara ini secara terperinci dan meneliti bagaimana dapat melakukan penambahbaikan untuk faedah pelajar dan warga kampus, tegas Naib Canselor lagi.

DSC 0076

Jawatankuasa yang ditubuhkan itu dijangka akan turut meneliti keperluan dan kedudukan CCTV yang ada, yang sesetengahnya di bawah penyeliaan pengurusan desasiswa secara menyeluruh untuk tujuan yang sama.

Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar bersama-sama Timbalan Dekan (Akademik), Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan dan Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Jaringan) Profesor Madya Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali serta para pegawai Hal-Ehwal Pelajar USM berada sama di Bilik Mayat Hospital Pulau Pinang untuk mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar dan membantu menguruskan jenazah sehingga dibawa balik ke kampung halamannya malam tadi untuk disemadikan. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 10181

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024