NC MENERIMA KUNJUNGAN HORMAT REKTOR SIMAD UNIVERSITY SOMALIA
PULAU PINANG, 1 April 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menerima kunjungan hormat daripada Rektor Simad University, Mogadishu, Somalia, Al-Ustad Abdurahman Mohamed Hussein bersama dua pegawai atasan universiti berkenaan di pejabatnya di sini.
Dalam pertemuan yang berlangsung hampir 40 minit itu, kedua-dua pihak telah berbincang tentang peluang-peluang kerjasama yang berpotensi dalam bidang akademik dan penyelidikan. Rektor Simad University turut menzahirkan hasratnya agar beliau dapat menghantar beberapa staf akademiknya untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di USM.
Selain itu, Naib Canselor juga mencadangkan agar pihak Simad University meneroka kemungkinan untuk memanfaatkan pusat perkhidmatan setempat yang ditubuhkan oleh USM di Doha, Qatar dengan menghantar staf akademiknya mengikuti program akademik dan latihan tertentu di sana memandangkan Doha adalah lebih dekat dengan Mogadishu.
Delegasi Simad University yang turut sama dalam perjumpaan itu ialah Timbalan Rektor (Akademik) Mohamed Ibrahim Nor yang kini sedang mengikuti pengajian PhD dalam bidang Kewangan di Pusat Pengajian Pengurusan USM, dan juga Timbalan Rektor (Perancangan dan Pembangunan) Dahir Hassan Abdi.
Dari USM pula ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Pengajian Sains Komputer Profesor Madya Dr. Cheah Yu-N, Pengarah Pusat Kualiti, Profesor Madya Dr. Ahmad Hj. Mohamad, Ketua Penolong Pendaftar Institut Pengajian Siswazah Roslan Ismail, dan Felo Pasca doktoral di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Dr. Sharif Yusuf yang berasal dari Somalia.
Simad University adalah antara universiti yang terkemuka di Mogadishu, Somalia ditubuhkan pada tahun 1999 sebagai sebuah institut pengajian tinggi dan telah dinaiktaraf kepada universiti sepenuhnya (full-fledged university) pada Januari 2011. Ia menawarkan pelbagai kursus di peringkat sijil, diploma, ijazah pertama dan ijazah tinggi dalam bidang Perubatan, Kejuruteraan, Undang-undang, Perniagaan, Sains Komputer, Pentadbiran Awam dan Ekonomi. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 946