USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INISIATIF PERDAMAIAN MELALUI PROSES PENDIDIKAN

1619253 10203539956043904 1765752668 n

MOHAMAD BIN ABDULLAH

Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia

Dunia bersyukur dengan termeterainya Perjanjian Komprehensif Bangsamoro (CAB) dan kita berbangga dengan penglibatan negara, khususnya sokongan kuat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak terhadap usaha murni tersebut.

Penandatanganan bersejarah CAB di Istana Malacanang diharapkan menamatkan satu episod sedih konflik yang mengorbankan banyak nyawa dan kedamaian rakyat yang begitu lama menderita dalam kancah penyelesaian yang kelihatannya amat sukar dicapai.

Namun, tidak ramai yang sedar tentang peranan para pensyarah dan ahli-ahli kita di sebalik kejayaan usaha ini.

Penyelaras Unit Penyelidikan dan Pendidikan untuk Perdamaian (REPUSM) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Kamarulzaman Askandar misalnya merupakan antara insan paling gembira di sebalik kejayaan seperti ini.

Walau pun beliau tidak menunjukkannya, namun hal ini dapat difahami melalui penglibatan beliau sejak tahun 2003 dalam usaha murni untuk menyatukan kumpulan-kumpulan yang berkonflik dan menanamkan pendidikan untuk mementingkan keamanan dan perdamaian dalam kalangan mereka yang terlibat.

030414-1

Unit tersebut mengadakan banyak inisiatif ke arah usaha ini, antaranya ialah mengadakan program perdamaian, kerja-kerja perundingan, perjumpaan dengan pelbagai pihak yang berkonflik termasuk orang awam, menganjurkan program-program konsolidasi, mengadakan perjumpaan-perjumpaan dengan pihak berkuasa dan menulis cadangan-cadangan dan laporan-laporan yang antaranya membawa kepada penubuhan Pasukan Pemantauan Antarabangsa yang melibatkan beberapa buah negara.

Unit tersebut juga membantu tatkala proses damai menghadapi keadaan yang kritikal pada tahun 2008 sehinggalah pada tahun 2012 apabila satu lagi program konsolidasi dengan Bangsa Moro diadakan di Pulau Pinang. Tentunya Pulau Pinang menyaksikan banyak usaha ini dilakukan oleh USM secara diam bagi memastikan usaha ini tidak terganggu.

Kemuncaknya juga adalah apabila kira-kira 40 orang ketua institusi pengajian tinggi dari sana bertemu di Pulau Pinang melalui satu “Educators Summit” pada tahun 2010 yang mencari kaedah penyelesaian konflik untuk meneruskan agenda perdamaian yang didambakan itu.

Ini adalah antara usaha universiti dan sumbangan besar pengajian tinggi negara untuk perdamaian sejagat.

“Kita percaya kepada pentingnya pendidikan untuk perdamaian yang perlu ditanamkan dalam kalangan semua pihak, apatah lagi yang berkonflik dan berhadapan dengan situasi yang mengancam kehidupan manusia,” kata Kamarulzaman.

Justru, REPUSM terus mengadakan usaha-usaha yang dapat mengukuhkan usaha ini. Antaranya ialah mengadakan program latihan untuk pertubuhan-pertubuhan sukarela (NGO) dan aktivis untuk memperkasakan perdamaian, mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan kefahaman tentang proses dan kepentingan perdamaian kepada gerakan-gerakan perjuangan tertentu malah juga mengadakan pusat-pusat pendidikan khas untuk pelarian seperti pelarian Rohingya.

Jika kita percaya kepada pentingnya perdamaian, kesejahteraan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat, negara, bangsa dan dunia, maka proses pendidikan dan penyelidikan perlu dilakukan dan diperkukuhkan. Universiti mempunyai peranan besar dalam usaha ini seperti mana yang ditunjukkan oleh Kamarulzaman dan pasukan kerjanya.

Kita mungkin tidak nampak kejayaan seperti ini secara fizikal seperti mana hasil yang ditunjukkan oleh para saintis dan mereka yang menghasilkan sesuatu produk melalui kepakaran yang ada, namun usaha mewujudkan perdamaian sejagat tentunya tidak harus dipandang kecil.

Mereka yang berada di belakang tabir seperti ini seharusnya diberikan pengiktirafan dan usaha seperti ini harus dilihat sebagai sumbangan penuh bermakna institusi pengajian tinggi negara kepada dunia seluruhnya.

Kamarulzaman bukan sahaja memberikan sumbangan kepakarannya dalam proses perdamaian MILF tetapi juga membantu di Aceh, Pattani, Myanmar dan banyak negara lain yang menunjukkan juga bagaimana ilmu untuk pendidikan perdamaian itu sangat penting apatah lagi dalam menyediakan resolusi konflik yang wujud di pelbagai penjuru dunia.

Seperti kata Kamarulzaman, budaya perdamaian sewajarnya dimulakan seawal mungkin dalam proses pendidikan apatah lagi dengan begitu banyaknya konflik yang berlaku dalam pembangunan dunia global yang pesat dan pantas berkembang.

 

  • Created on .
  • Hits: 1301

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024