USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIMA PELAJAR USM TERIMA BIASISWA AGILENT

080414-1

PULAU PINANG, 8 Apr.2014 – Lima orang pelajar cemerlang Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih menerima biasiswa dari Agilent Technologies Microwave Products (M) Sdn. Bhd berjumlah RM50,000 dalam satu majlis khas yang berlangsung di sini hari ini.

Mereka yang terpilih ialah Nuramni Bakar, Ong Boon Keong dan Chong Xin Rou dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Elektrik dan Elektronik serta Mabel de Cunha dan Goh Theng Tyng (PPK Bahan dan Sumber Mineral).

Dengan jumlah tersebut, setiap pelajar akan menerima biasiswa berjumlah RM10,000 setiap seorang yang akan diperuntukkan kepada mereka untuk tempoh dua tahun bagi membiayai perbelanjaan pengajian masing-masing.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM sentiasa komited menjalin kerjasama dengan rakan industri khususnya dalam menghasilkan modal insan yang terbaik kepada negara.

Katanya, USM sentiasa berusaha untuk menjana kecemerlangan melalui pembinaan bakat-bakat masa depan dan menjadi universiti yang relevan pada industri dan masyarakat.

``USM berharap pelajar yang terpilih ini akan mula mendekati Agilent dan mengambil peluang yang diberikan untuk menjadi pelantar dalam pemajuan kerjasama dalam profesionalisme masing-masing.

``Mereka (pelajar) seharusnya menunjukkan kemahiran yang tinggi berbanding yang lain dalam bidang termaju khususnya kejuruteraan serta berupaya untuk memacu dunia teknologi pada masa depan,’’ katanya.

IMG 1867

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis penandatanganan dokumen perjanjian di antara USM (pelajar) dengan pihak Agilent, yang diketuai oleh Naib Presiden & Pengurus Besar Agilent, Shidah Ahmad.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC)  Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussein dan TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey.

Dalam pada itu, Shidah  pula berkata, kerjasama dengan USM adalah satu ikatan yang amat bermakna buat Agilent, yang turut komited melatih bakat masa depan untuk meneraju dunia teknologi.

Katanya, Agilent telah bertapak selama 42 tahun di Pulau Pinang dan akan terus berkembang seiring dengan kepesatan bidang teknologi semasa.

``Justeru, kita sangat memerlukan bakat-bakat baru yang berpotensi dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi untuk bersama-sama meneraju bidang teknologi di masa hadapan.

IMG 1880

``Kesemua lima pelajar yang terpilih ini akan menjadi perintis kepada usaha Agilent dalam menggilap bakat masa depan dan diharapkan mereka akan terus melakar kecemerlangan dalam lapangan kerjaya,’’ ujar beliau.

Majlis penandatanganan tersebut yang kali kedua diadakan menjadi simbolik kepada persetujuan kedua-dua pihak dalam pembiayaan biasiswa oleh pihak Agilent kepada lima pelajar ijazah sarjana muda USM yang cemerlang melalui Agilent Malaysia Scholarship Program 2014. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1838

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024