USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

POLIS PULAU PINANG GIAT BANTERAS JENAYAH BABITKAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH

080414-10

PULAU PINANG, 8 April 2014 - Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, SDCP Dato’ Abd. Rahim Haji Hanafi berkata jenayah yang membabitkan pelajar di sekolah menengah Pulau Pinang meningkat tahun lalu berbanding 2012 dan usaha membanterasnya sedang giat dilakukan oleh pihak polis dan juga sekolah.

Beliau berkata kes jenayah yang melibatkan remaja (juvenil) di bawah 18 tahun di Pulau Pinang telah meningkat sebanyak 231% dari 2012 ke 2013, membabitkan kes-kes vandalisme harta benda awam sehingga kes-kes mencuri, menyamun dan memeras ugut.

“Pihak polis memandang serius terhadap peningkatan kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah khususnya pelajar sekolah menengah dan akan terus menggiatkan lagi usaha membanterasnya.

“Pelbagai usaha pencegahan jenayah sedang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini oleh pihak polis dengan kerjasama rapat dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang antaranya ialah penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di setiap sekolah menengah di Pulau Pinang,” kata Abd. Rahim.

Ketua Polis Pulau Pinang itu dijemput untuk berucap dan merasmikan program Bersama Cegah Jenayah bagi Sekolah Menengah Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan bersama oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang di USM hari ini.

080414-11

Menurut beliau lagi, pihak polis turut akan mewujudkan papan kenyataan cegah jenayah di setiap sekolah yang berperanan sebagai tempat penyaluran maklumat mengenai kes jenayah terbaharu dan penerangan mengenai pelbagai usaha pencegahan jenayah yang dijalankan.

“Pihak polis juga sentiasa mengharapkan malah mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkenaan dengan kegiatan jenayah yang disyaki supaya pihak polis dapat terus menjalankan tanggungjawabnya untuk mencegah dan membanteras jenayah dengan lebih berkesan,” tambah Abd. Rahim.

Program setengah hari itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari lebih 800 pelajar sekolah menengah dan hampir 240 tenaga pengajar dari 180 buah sekolah di sekitar Pulau Pinang.

Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Dato’ Haji Ahmad Tarmizi bin Kamaruddin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, DCP Dato’ Thaiveegan Arumugam; Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Pulau Pinang, Dato’ Syed Jaafar Syed Ali; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Dr. Nor Malina Malek dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan), Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri

 

  • Created on .
  • Hits: 1279

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024