PERMUDAHKAN PROSES KERJA PENYELIDIKAN, KATA DR. LEE KEAT TEONG
PULAU PINANG, 9 April 2014 - Penyelidikan dan Inovasi perlukan proses kerja yang cepat dan pantas. Proses kelulusan dan lain-lain yang berkaitan dengannya perlu dipermudahkan untuk mendorong dan menyokong usaha yang dilakukan.
Apatah lagi idea dan kebebasan dalam melakukan kerja-kerja sedemikian akan membantu dalam meningkatkan keberkesanan dan hasil kerja yang dibuat.
Demikian pandangan Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Lee Keat Teong dalam pertemuan di pejabatnya di sini.
“Ketika diminta untuk mengetuai pejabat ini, perkara yang bermain di fikiran saya ialah bagaimana untuk memastikan proses-proses yang ada dapat dipercepatkan yang sesetengahnya mengambil masa setahun atau lebih,” kata Lee.
Menurutnya lagi, beliau berusaha untuk memahami proses-proses yang ada sepenuhnya dalam usaha meningkatkan kecekapan kerja yang dilakukan, apatah lagi ini akan menjejaskan usaha penyelidikan yang dibuat yang sedikit sebanyak mengganggu kreativiti dan inovasi yang ada dalam kalangan ahli akademik dan penyelidik universiti.
“Saya teruja dengan pandangan dan cabaran baharu seperti ini apatah lagi apabila diminta merealisasikan hasrat universiti untuk memberikan hak upaya dalam memperkasa usaha penyelidikan dan inovasi,” kata Lee.
Anak kelahiran Air Itam Pulau Pinang dan dibesarkan di Bayan Baru Pulau Pinang, bersekolah di Sekolah Seri Permai sebelum ke Penang Free School, Lee sejak kecil bercita-cita ingin menjadi seorang doktor dan kemudiannya seorang guru tetapi mengubah haluan selepas berada di universiti.
“Saya belajar di USM Kampus Kejuruteraan dan begitu teruja dan menghormati kerja keras dan kepelbagaian usaha oleh tokoh akademik yang saya segani iaitu Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM,” kata Lee menceritakan bagaimana beliau boleh memasuki dunia akademik.
Lee Keat Teong, 37, adalah alumni ijazah pertama USM dan terus mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia apabila muncul antara pelajar terbaik di pusat pengajiannya sekitar tahun 2000.
“Saya percaya dan yakin dengan sistem pendidikan negara ini yang mampu memberikan yang terbaik, walau pun tentunya dalam mana-mana sistem pun sentiasa terbuka untuk penambahbaikan,” tegas Lee.
Beliau berbangga dengan pelbagai kejayaan yang ditempa oleh siswazah universiti tempatan negara ini termasuk menjadi editor dalam jurnal-jurnal terkemuka dunia.
“Sebenarnya kita mampu hasilkan ahli akademik, penyelidik dan bakat besar yang dihormati di dunia yang seharusnya menjadi kebanggaan kita semua sebagai membuktikan kejayaan sistem pendidikan kita,” tambah Lee, anak kepada penjawat awam yang telah bersara.
Ibunya seorang jururawat manakala bapanya adalah seorang juruteknik makmal. Lee adalah anak bongsu dari dua beradik. Kakaknya kini bertugas di sebuah syarikat swasta.
Berkaitan dengan mengapa terdapat banyak penyelidikan yang tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, Lee berkata, sebahagian besarnya adalah berkait rapat dengan kekurangan sokongan bakat dalam melaksanakan usaha yang dibuat.
“Kita di negara ini secara umumnya masih kekurangan tenaga sokongan dan kepakaran untuk melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dan inovasi yang dilakukan terutamanya untuk mendapat Pembantu Penyelidik dan Pegawai Penyelidik walau pun perlbagai insentif diberikan termasuk melalui pelbagai skim yang ditawarkan oleh kerajaan,” kata Lee.
Ramai dalam kalangan siswazah memilih untuk mencari pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian dan menjadikan usaha melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dan doktor falsafah sebagai pilihan kedua yang sedikit sebanyak menjejaskan kerja-kerja penyelidikan dan inovasi yang dilakukan oleh para penyelidik dan dan tenaga akademik universiti.
Usaha telah dibuat secara berterusan untuk mengatasi masalah yang ada, namun banyak lagi yang perlu dilakukan bagi meningkatkan usaha penyelidikan dan inovasi di negara ini.
Ditanya tentang pencapaiannya setelah menerajui RCMO USM, Lee berkata, “setelah lebih setahun berada di sini, saya belum berjaya sepenuhnya walau pun peningkatan sudah ada kerana terdapat begitu banyak perkara yang perlu dilihat, diteliti dan dipastikan tatkala kita mempercepatkan prosesnya, akauntabiliti akan tersentiasa terpelihara dan integriti dalam semua aspek termasuk pengurusan dana dapat dijaga sebaik mungkin.”
Lee ingin terus mencabar dirinya memenuhi hasrat universiti negara dalam memacu usaha penyelidikan dan inovasi, apatah lagi sebagai sebuah Universiti Penyelidikan. Mewarisi bakat dan kerja keras sifunya Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed yang merupakan seorang penyelidik yang berjaya, Lee menegaskan yang beliau ingin terus bekerja keras dan melakukan perubahan.
“Walau pun keadaan telah banyak berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya dalam mendorong bakat dan infrastruktur untuk kerja-kerja penyelidikan, namun kita perlu terus berusaha dalam semua aspek kerja dan proses agar pengurusan kreativiti penyelidikan ini dapat menepati apa yang diperlukan oleh negara mahu pun dunia seluruhnya dan meningkatkan lagi keupayaan dan ‘visibility’ dalam kalangan institusi dan rakan-rakan di mana sahaja untuk membangunkan jaringan dan kepakaran yang ada,” katanya di akhir pertemuan.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1466