IBRAHIM SAMSUDIN – TERIMA KASIH UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
PULAU PINANG 4 April – “Saya tak dapat bayangkan lagi bagaimana kehidupan seharian selepas ini, sebab selalunya awal pagi saya hingga ke lewat petang, akan sentiasa ditemani rakan-rakan sepejabat,” luah Ibrahim Samsudin, 58, Ketua Penolong Pegawai Tadbir yang akan menamatkan perkhidmatannya di Universiti Sains Malaysia (USM) pertengahan April 2014 nanti.
“Sahabat handai di USM adalah yang terbaik yang pernah saya temui, yang terhebat pernah dikenali, dan pengalaman bersama yang ditempuhi adalah yang terindah pernah dirasai. Mereka umpama keluarga besar saya yang tidak akan dilupakan sampai ke akhir hayat nanti.”
Berpengalaman selama 37 tahun, terutama dalam bidang pengurusan pejabat serta sumber manusia dan pentadbiran, Ibrahim menyifatkan kerjaya di USM adalah yang paling mencabar pernah dilaluinya.
“Pintu rezeki saya bermula di sebuah syarikat percetakan, The Asian Statist pada 1976 selama enam bulan sebelum mencari pengalaman dalam bidang perindustrian di Kilang PLAAT (M) Sdn.Bhd,” ujarnya ketika berkongsi tentang pengalaman kerja.
“September 1977, bermulanya langkah pertama saya di USM sebagai pembantu pejabat di Projek InSPIRE.”
“Bayangkan pada masa itu, kemudahan pejabat sangat terhad dan kebanyakan tugas perlu dilakukan secara manual, namun itu sama sekali tidak mematahkan semangat untuk menanam cita mendaki ke jawatan yang lebih tinggi lagi.”
“Dengan kekurangan itu sebenarnya, menambahkan dan meninggikan lagi iltizam saya dalam mencapai cita-cita menjadi seseorang yang lebih berdedikasi dan bertanggungjawab dalam tugas.”
Selepas bertugas hampir dua tahun di Projek InSPIRE, Ibrahim dilantik ke jawatan tetap sebagai kerani dan diserapkan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) ketika itu.
“Antara bidang tugas saya semasa di BPSM adalah mengendalikan tugas cuti kakitangan USM, kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan, kes-kes tatertib serta pelbagai tugas yang diarahkan dari masa ke semasa.”
Selain menjalankan tugas hakiki yang diamanahkan, Ibrahim juga aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi, Perkumpulan Kebajikan Am, Tabung Kebajikan Personel di bawah Jabatan Pendaftar.
“Saya suka melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti disebabkan ingin menjadi seorang yang ‘multitasking’ disamping ingin menggali keupayaan diri untuk melakukan sesuatu yang berada diluar kemampuan saya.”
Januari 1997, bermula satu lagi episod baru dalam dunia kerjaya Ibrahim apabila diamanahkan untuk menguruskan semua hal dan pengurusetiaan Mesyuarat Majlis Universiti dan Lembaga Pengarah Universiti (kini Lembaga Gabenor Universiti – LGU) dan Lembaga Pelantikan Jawatan Timbalan Naib Canselor.”
“Amanah yang dipikul memang agak berat kerana saya merupakan orang perantaraan yang perlu memastikan perjumpaan atau mesyuarat rasmi antara ahli LGU dan pegawai utama Universiti dilaksanakan dengan teratur dan sempurna.”
“Selain itu, saya juga menyumbang idea dan pendapat agar dilakukan beberapa perubahan dan penambahbaikan dalam pengurusetiaan mesyuarat LGU ini seperti melalui kaedah digital ‘E-meeting’ yang bertujuan dapat mengurangkan penyediaan fail dan penggunaan kertas.”
Berkat kesungguhan dan doa semua, pada tahun 2002, Ibrahim dilantik sebagai kerani kanan dan rezeki ini masih berterusan sehingga dilantik sebagai ketua kerani pada 2005 dan sebagai penolong pegawai tadbir pada 2007.”
“19 Oktober 2010 sekali lagi saya dimurahkan rezeki apabila dilantik sebagai penolong pegawai tadbir kanan dan ditempatkan di Pejabat Pendaftar, Jabatan Pendaftar.”
Ketika ditanya tentang etika kerja yang digenggamnya selaku penjawat awam, Ibrahim menegaskan dia berpegang teguh kepada nilai integriti dan kekuatan jati diri.
“Ingatlah bahawa kita selalu diperhati, sentiasa dihakimi dan dinilai oleh Tuhan dan orang sekeliling. Oleh itu, peganglah kepada amanah, tanggungjawab sebaiknya, dan jagalah kepercayaan yang diberi seelok-eloknya.”
“Kuntumlah senyuman, hadiahkan salam pada yang berkenaan, bersangka baiklah pada setiap kenalan, dan sentiasa bermohon maaf jika melakukan kesilapan,’ tambahnya ketika ditanya rahsia hubungan baiknya dengan semua lapisan staf dan pegawai.
Jika dilihat pada tanggal tarikh lahirnya iaitu pada 17 April 1956, tidak ada siapa akan menyangka Ibrahim akan melangkah pergi dari USM kerana wajah ‘awet muda’ dan perwatakan yang sentiasa menyenangkan semua pihak.
“Memang ramai yang masih mahu saya meneruskan perkhidmatan yang berbaki dua tahun lagi, tetapi mengenangkan janji kepada keluarga, saya harus memuktamadkan keputusan ini.”
Tambahnya, keluarga telah banyak berkorban masa dan tenaga sepanjang perkhidmatannya bersama USM.
“Pernah dalam bulan Ramadhan, anak dan isteri datang menghantar juadah berbuka kepada saya di pejabat kerana saya tidak sempat pulang untuk berbuka bersama mereka.”
“Ini antara pengorbanan yang amat saya hargai dan kenangi sampai bila-bila.”
Sepanjang 37 tahun bersama USM, Ibrahim juga telah beberapa kali menerima Anugerah Khidmat Cemerlang dan pernah menerima Sijil Anugerah Khas Perkhidmatan Awam dari MAMPU pada tahun 1996.
Mengimbau kembali sejenak memori zaman persekolahan, permata hati keenam pasangan Samsudin Miskin dan Hasiah Mohd Said ini menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir, Melaka dan Sekolah Menengah Sungai Ara, Pulau Pinang.
“Selepas tamat pengajian sekolah menengah, saya memohon untuk mengikuti Diploma Seni Halus di Institut Teknologi Mara (kini UiTM), namun rezeki tidak memihak kepada saya.”
“Mungkin ada hikmah yang tersembunyi kerana itu membuka peluang yang lain bagi saya untuk menyara keluarga.”
Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini juga tidak lupa menitipkan kata-kata nasihat, bahawa kejayaan sesuatu perkara tidak boleh dicapai dengan mudah tanpa usaha dan tawakal.
“Biarpun tahap pendidikan kita tidak sampai ke peringkat Universiti, itu tidak bermakna kita tidak boleh menjadi seseorang yang berjaya dan disegani.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Ibrahim juga mengharapkan pelapis generasi kini sentiasa berusaha untuk memajukan diri,biarpun tidak berada dalam bidang kerjaya yang diingini.
“Percayalah, setiap apa yang diberi pasti ada hikmah untuk diri sendiri dan semua yang berada disisi.”
Teks & Foto : Mohamad Danial Shahri / Ibrahim Samsudin
- Created on .
- Hits: 1602