USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI SEBAGAI RUMAH KITA

100414-10

PULAU PINANG, 10 April 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) berkembang pesat dan mencapai pelbagai kejayaan. Kini kakitangan USM telah menjangkau lebih 10,000 orang tidak termasuk kira-kira lebih 1,000 orang kakitangan kontrak dan tidak tetap. Manakala pelajar pula sudah mencecah kira-kira 31,000 orang yang dijangka meningkat kepada 35,000 orang dalam masa yang terdekat.

100414-1

"Yang terbaharu USM diiktiraf pada kedudukan ke-28 dalam bidang Sains Persekitaran dan antara 100 - 200 terbaik dalam beberapa bidang lain terutamanya dalam semua bidang kejuruteraan dalam kalangan beribu universiti yang ada di seluruh dunia," kata Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Beliau bercakap kepada lebih 100 orang kakitangan Jabatan Keselamatan yang menghadiri program transformasi bersama Pejabat Transformasi USM dan Jawatankuasa Khas Transformasi Jabatan Keselamatan yang dibentuk oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) untuk meneliti pelbagai isu dan penambahbaikan dalam keselamatan kampus USM.

100414-2

Menurut Naib Canselor lagi, keadaan menjadi begitu rencam dengan kampus USM yang kini berada di empat lokasi yang berbeza, Kampus Induk di Pulau Pinang, Kampus Bertam, Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan di Kelantan di samping Kampus KLE di India serta keperluan keselamatan di Sg. Batu Merbok Kedah.

"Kerana itu, kita perlu melihat pembangunan dan perkembangan kampus USM ini seperti kemajuan sebuah keluarga besar yang perlu diuruskan seperti sebuah rumah yang memerlukan kefahaman dan kasih sayang mendalam dalam kalangan setiap ahli keluarga," kata Omar.

100414-9

Beliau meminta agar semua pihak bersikap terbuka dalam menghadapi pelbagai cabaran yang ada sebagai satu keluarga yang saling mengambil berat, membantu dan berganding bahu untuk memastikan universiti dapat meningkatkan pencapaian yang ada.

Pada masa yang sama, semua pihak, umpama anggota-anggota dalam sebuah keluarga perlu saling hormat menghormati, bertanggungjawab, berpegang kepada amanah dan berusaha mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia.

100414-4

"Kita perlu meningkatkan iltizam untuk mewujudkan persekitaran kerja yang membahagiakan dan menjaga keseluruhan tempat yang ada untuk turut merasa bahagia dengan kehadiran dan sumbangan kita di seluruh pelosok kampus, dalam kalangan jiran tetangga, adik beradik, tetamu yang datang dan sebagainya untuk bersama-sama menjaganya dan membanggakan setiap yang ada kerana saya sedar sejak dahulu lagi, anggota Jabatan Keselamatan bekerja keras dan memberi impak kepada universiti walau pun mungkin ada nila setitik yang memberikan kesan kepada anggota keluarga yang lain," jelas Omar lagi.

Naib Canselor menyeru agar usaha transformasi dan pemerkasaan Jabatan Keselamatan disokong dengan memaklumkan universiti apa jua masalah yang dihadapi dan berkongsi dengan mana-mana pihak yang bersedia membantu seperti Pejabat Transformasi, Pejabat Pendaftar malah juga Pejabat Naib Canselor atau mana-mana pihak lain yang sesuai.

100414-5

Hadir sama ialah Pengarah Pejabat Transformasi, Dato' Hj Ellias Hj Zakaria, Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid dan pakar kriminologi Profesor Dr. P. Sundramoorthy. Naib Canselor turut beramah mesra dengan pegawai-pegawai keselamatan dan membuat pemeriksaan kehormatan pada akhir pertemuan tersebut.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1274

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024