USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPT PERLU SERAP PERUBAHAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN SEKOLAH

110414-10

PULAU PINANG, 11 Apr.2014  - Institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di negara ini perlu mengikuti dan menyerap setiap perubahan dalam sistem pendidikan di sekolah-sekolah supaya wujud kesinambungan terhadap perkembangan pelajar hingga ke menara gading.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, IPTA/S perlu mengikuti segala praktis baharu yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2013-2025 untuk memastikan sistem pendidikan di negara ini saling menyokong di antara satu sama lain.

Justeru katanya, IPT harus bersedia untuk mengubah sistem pembelajaran mereka agar selari dengan pelbagai perubahan di peringkat sekolah termasuk kurikulum dan orientasi penilaian mereka.

``PIPP dirangka bagi melahirkan generasi masa depan yang mampu menjadi modal insan yang lebih kreatif dan berkemahiran tinggi serta mampu bersaing di peringkat global. Justeru apa yang berlaku di sekolah perlu juga difahami di peringkat IPT.

``Mereka telah mula didedahkan dengan sistem pembelajaran yang berteraskan kepada student centered learning dan ia seharusnya diteruskan sehingga ke peringkat tertinggi pengajian iaitu di IPT,’’ ujarnya.

110414-11

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan khas bertajuk The Potential Impact of the Malaysian Educational Blueprint 2013-2015 on the Higher Education in Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Zakaria juga berkata, kesinambungan perlu ada dan selari dengan apa yang digariskan di dalam pelan itu terutama sistem pentaksiran dan penilaian ke atas pelajar disebabkan penilaian sedia ada disifatkan sudah tidak sesuai.

``Sistem penilaian pada masa ini dilihat  tidak mampu mengesan nilai dan bakat yang ada dalam diri setiap pelajar. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah sistem terbaik yang diwujudkan bagi mengenal pasti keupayaan setiap pelajar dengan penilaian dibuat sendiri oleh para guru.

 "Dengan cara ini pelajar dapat dinilai berdasarkan minat dan bakat yang dimiliki mereka dan mampu merencana langkah seterusnya ketika melanjutkan pengajian ke IPT," ujarnya.

IMG 2145

Dalam pada itu, Omar pula berkata, IPT perlu berupaya menerima perubahan ini dan menangani segala cabaran yang ada untuk memastikan pendidikan di negara ini setanding dengan negara-negara termaju dunia.

``Dalam menukar sesuatu sistem, kita perlu mempunyai infrastruktur yang menyokong kepada perubahan dan dengan wujudnya keadaan seumpama itu, cabaran untuk berubah menjadi lebih mudah.

``Jika sistem infrastruktur sudah berada pada tahap terbaik, fokus boleh ditumpukan kepada usaha memberi pemahaman kepada perkara-perkara yang hendak diubah,’’ ujar beliau lagi. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1358

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024