PIBG, SEKOLAH DAN UNIVERSITI PERLU SEIRING
PULAU PINANG, 13 April 2014 - Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekolah dan universiti perlu bergerak seiring dalam memastikan Pelan Pembangun Pendidikan negara dapat dijayakan oleh semua yang terlibat. Hal ini ditekankan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMKA (L) Al-Mashhor di sini pagi ini.
Menurut Omar, fungsi PIBG yang dijangka berubah dalam kecemerlangan pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan seperti gerak kerja dalam anjakan 9 pelan itu dan sekolah yang berjaya adalah sekolah yang bergerak secara bersama dan berupaya mendedahkan para pelajarnya kepada masyarakat setempat, kesatuan tempatan dan institusi pengajian tinggi yang ada.
Tambahnya lagi, keterbukaan sekolah kepada penglibatan ibu bapa dan pakar institusi pengajian tinggi seperti USM akan dapat membantu dalam usaha meningkatkan kualiti dan akses pembelajaran peringkat tinggi.
Naib Canselor USM itu turut menyeru ibu bapa agar lebih menjadikan sekolah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka dan sentiasa menyumbang serta menderma untuk membantu aktiviti dan usaha yang dibuat secara berterusan.
"Saya harap pihak sekolah akan mengaktifkan kegiatan alumni sekolah dengan menggunakan konsep ‘Kami Sayang Al-Mashhor’ yang tentunya akan menyemarakkan lagi perasaan kekitaan dalam memajukan sekolah secara bersama-sama," kata Omar lagi.
Kira-kira 150 orang guru dan ibu bapa hadir dalam majlis tersebut. Hadir sama ialah Pengerusi PIBG Profesor Dr. Wan Rosli Wan Daud dan Pengetua SMKA Al-Mashhor (L) Ustaz Sirajuddin b. Haji Hamid.
USM turut menjalin kerjasama pintar dengan beberapa buah sekolah sekitar negeri Pulau Pinang.
Yang terbaharu ialah usaha untuk meningkatkan kecemerlangan akademik Penang Free School, antara sekolah ternama dam tertua di negara ini. Beberapa orang guru dan pentadbir kanan sekolah tersebut yang diketuai Pengetuanya Jalil Saad berbincang dengan Naib Canselor dan pegawai-pegawai kanan USM untuk tujuan tersebut.
"Satu perbincangan lebih terperinci akan diadakan oleh pihak Penang Free School dengan USM bukan sahaja dalam memartabatkan kecemerlangan akademik sekolah tetapi juga aspek-aspek lain termasuk sukan dan ko-kurikulum, namun yang utamanya ialah dari segi akademik melalui perjanjian persefahaman yang akan ditandatangani nanti dalam berkongsi kepakaran yang ada di USM," kata Omar baru-baru ini yang ditemui setelah selesai perbincangan di antara kedua-dua pihak.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 854