USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SELSIUS-USM RELEVAN

130414-1

PULAU PINANG, 14 April 2014 – Setelah hampir seminggu berkampung di Universiti Sains Malaysia (USM), para peserta Selsius-USM International Ceramic Festival 2014 telah melabuhkan tirai program tersebut kelmarin. Kesemua lebih 50 artis  gabungan tempatan dan antarabangsa termasuk China, Jepun, Belgium dan Kanada merasai pengalaman yang berbeza walaupun bercakap bahasa yang sama iaitu ‘bahasa seramik’.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Muhamad Jantan program sebegini sangat relevan dengan universiti kerana selain mengekalkan konsep kelestarian ianya juga dapat menggabungkan dan bertukar-tukar pendapat antara artis tempatan dan luar negara.

130414-2

“Walaupun penggunaan bahan yang mungkin sama iaitu tanah liat, seni dan kreativiti masing-masing memberikan kelainan kepada hasil yang dibentuk sangat menakjubkan,” tambah Muhamad.

Program dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni (PPS) USM dan beberapa rangkaian seni antarabangsa itu memperlihatkan demonstrasi pembuatan seramik termasuk teknik dan bahan-bahan yang digunakan, pengalaman melakar lukisan seramik dan pelbagai lagi.

Koleksi mereka itu yang telah dihasilkan di sini telah didermakan untuk pameran di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM serta memberi peluang kepada masyarakat melihat dari dekat koleksi seramik unik.

130414-3

“Kami berasa sungguh gembira di sini di samping menunjukkan bakat pembuatan seramik tanah liat, kami juga berkesempatan melihat budaya masyarakat Malaysia khasnya Pulau Pinang,” kata artis Australia, Rowley Drysdale berucap mewakili semua artis sempena Malam Gala dan Penutup Selsius-USM International Ceramic Festival 2014.

Malam Gala telah diserikan dengan persembahan kebudayaan kumpulan Adikarma USM dan juga nyanyian Jazz Band dan artis budaya Dewan Budaya.

Turut hadir ialah isteri Timbalan Naib Canselor, Suraiya Kassim, Dekan PPS Profesor Madya Mohamad Omar Bidin dan Pengarah Projek Dr Shamsu Mohamad. Teks: Nor Rafizah Md Zain/ Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 1035

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024