EVO REHAB HASILKAN ALAT SENAMAN OTOT YANG MURAH DAN MUDAH
KUBANG KERIAN, 14 April 2014 - Sekumpulan 9 orang kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertugas di Unit Pemulihan Perubatan Hospital USM berjaya menghasilkan alat senaman yang dikenali sebagai “Lolimex” dengan harga kurang dari RM200 menggunakan peralatan yang ada di sekeliling mereka seperti aluminium, papan kayu dan getah pemberat sebagai alat senaman untuk menguatkan otot anggota bawah pesakit seperti bahagian peha, betis, lutut, sendi dan sebagainya.
Inovasi mereka ini telah membawa kejayaan cemerlang apabila diiktiraf sebagai johan keseluruhan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-10 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) minggu lalu.
Kejayaan ini membolehkan mereka membawa pulang Piala Pusingan KIK dan dinobatkan johan Kategori Teknikal bersama wang tunai RM6,000 dan piala iringan.
Mereka menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani
Menurut ketua kumpulan Evo Rehab, Azlina Majid, 34, projek yang mereka mulakan pada Januari 2012 hingga September 2012 ini adalah hasil perbincangan kumpulan bersama-sama ketua jabatan dan pemerhatian mereka kepada keperluan pesakit di Hospital USM.
Penggunaan alat senaman sedia ada dalam usaha menguatkan anggota bawah dilihat membebankan pesakit terutamanya dalam rawatan pemulihan pesakit arthritis, kecederaan sukan, strok, kes kepatahan sedia ada sama ada kerana peralatan yang melibatkan kos yang tinggi, saiz yang terlalu besar, ketidakselesaan dan kesukaran pengendaliannya oleh pesakit.
“Alat sedia ada seperti alat senaman ‘shuttle’ dibeli dengan harga lebih RM20,000 dan sukar digunakan misalnya oleh mereka yang berkerusi roda sedangkan Lolimex mudah dilentur dan anjal untuk digunakan oleh sesiapa sahaja dengan beratnya sekitar 9.3 Kg yang boleh diangkat dan dibawa ke mana sahaja,” jelas Azlina.
Alat senaman Lolimex juga adalah peralatan pelbagai guna dalam banyak posisi iaitu untuk pesakit dalam keadaan baring, duduk atau duduk di atas kerusi. Malah pesakit boleh melakukan senaman susulan di rumah tidak hanya perlu ulang alik ke hospital.
Menurut Azlina lagi, alat ini amat sesuai juga untuk kegunaan orang awam sebagai peralatan kesihatan dan tidak terhad kepada para profesional sahaja apatah lagi Lolimex senang dikendalikan dan mesra pengguna.
“Kejayaan ini amat bermakna dan besar ertinya kepada kami sebagai pengikitirafan terhadap usaha inovasi yang dijalankan di Hospital USM,” kata Azlina. Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1246