NAIB CANSELOR MELAWAT UBAHSUAIAN MESJID AL-MALIK KHALID
PULAU PINANG, 14 April 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini mengadakan lawatan kerja meninjau kerja-kerja ubahsuaian Mesjid Al-Malik Khalid di Pusat Islam USM yang telah bermula dan dijangka siap pada pertengahan Jun ini.
“Kita berharap ubahsuaian mesjid ini akan sempat siap sepenuhnya menjelang Aidil Fitri nanti dan kemungkinan kita perlu membuat persediaan menghadapi Ramadhan tahun ini yang biasanya dipenuhi oleh para pelajar dan orang ramai sekitar USM,” kata Omar.
Naib Canselor USM turut mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat termasuk Pengarah Pusat Islam, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh dan Pengarah Jabatan Pembangunan Aziz Jusoh.
Pengubahsuaian masjid ini melibatkan kerja menaik taraf keseluruhan infrastruktur seperti siling, pendawaian semula elektrik, penghawa dingin, sistem siaraya, keseluruhan tandas di sekitar Pusat Islam serta lain-lain lagi.
“Pengubahsuaian ini penting memandangkan terdapat banyak masalah yang timbul selama ini yang menyebabkan kesusahan kepada para jemaah termasuk siling yang lama dan sering runtuh dan tandas yang perlu diperbaiki sepenuhnya di samping banyak lagi kemudahan untuk faedah orang ramai terutamanya umat Islam di kawasan sekitar kampus mahu pun dalam kalangan warga universiti,” kata Naib Canselor lagi.
Beliau meminta orang ramai bersabar dengan kerja-kerja yang dibuat dan kemungkinan kesulitan yang timbul namun operasinya tetap berjalan seperti biasa.
Mesjid Al-Malik Khalid mula dibina pada tahun 1977 dan dirasmikan pada 2 September 1983 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddn Al Mu'adzam Shah. Sebahagian kos pembinaannya melalui dana dari Raja al-Malik Khalid yang merupakan pemerintah kerajaan Arab Saudi ke-3.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 978