USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-ITRAMAS TEROKA PELUANG KERJASAMA DALAM PENYELIDIKAN SSL DAN LED

140414-20

PULAU PINANG, 14 April 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini mengadakan lawatan ke kilang ItraMAS Corporation Sdn. Bhd di Kawasan Perindustrian Perai atas jemputan seorang alumni USM, Lee Choo Boo.

Dalam lawatan hampir satu jam setengah itu, Naib Canselor telah dibawa melawat makmal reka bentuk, makmal pengujian, makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D), makmal pengeluaran dan beberapa makmal yang menempatkan peralatan canggih berkaitan dengan pengeluaran lampu LED. 

Di samping itu, Naib Canselor turut diberi taklimat dan penjelasan tentang aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan serta operasi dan proses berkaitan dengan pengeluaran lampu LED di kilang tersebut di bawah jenama Q-RAY yang mampu menjimat tenaga sehingga 50% dengan kualiti bermutu tinggi, mesra alam, selamat lagi selesa.

140414-21

Omar dan Lee juga mengadakan perbincangan untuk melihat bagaimana USM dan ItraMAS dapat menjalin kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pencahayaan keadaan pepejal (solid-state lighting, SSL) dan LED.

“Saya dapati ada beberapa aspek kerjasama yang dapat diusahakan bersama antara USM dengan ItraMAS, antaranya USM boleh menghantar pelajar ijazah pertama dalam jurusan Fizik dan Kimia untuk mengikuti latihan industri atau ‘internship’ di kilang ItraMAS dan selepas itu menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran mahupun pasca-doktoral dalam bidang SSL dan LED.

“Saya kagum dengan fasiliti infrastruktur dan makmal penyelidikan yang sedia ada di kilang ini, yang pastinya akan menyediakan suatu persekitaran yang kondusif kepada pelajar-pelajar USM untuk menjalankan kerja penyelidikan mereka,” kata Omar.

DSC 0050

Cadangan Omar disambut baik oleh Lee yang mengharapkan kepakaran penyelidik dan tenaga pengajar USM dapat dikongsikan bersama untuk melonjakkan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi berkaitan di syarikatnya ke tahap yang lebih tinggi.

Lee, graduan USM dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) tahun 1997, merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ItraMAS Corporation, sebuah syarikat peneraju global dalam Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transportation System, ITS), Sistem Keselamatan dan Pemantauan (Security and Surveillance) dan juga Pencahayaan LED (LED Lighting) yang ditubuhkan pada tahun 1999.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dr. Muhamad Jantan, Pengarah Pusat Inisiatif Penyelidikan Sains Semulajadi USM Profesor Dr. Zainuriah Hassan serta pihak pentadbiran dan pengurusan ItraMAS.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1161

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024