PROGRAM INTEGRASI BORNEO 2.0 BERI KESEDARAN
PULAU PINANG, 15 April 2014 – Pengalaman menaiki keretapi desa dengan muatan pelbagai hasil perladangan dan haiwan ternakan seperti ayam, itik, anjing peliharaan dan sebagainya antara saat-saat yang tidak dapat dilupakan oleh para peserta program kesukarelawanan Universiti Sains Malaysia (USM) ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini.
Pengarah Projek, Ilham Chong Soon Seng berkata, kumpulan 25 sukarelawan yang terdiri dari penghuni desasiswa Aman Damai (USM) dan kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah (3) serta Universiti Malaysia Sarawak (3) rata-ratanya merasai satu pengalaman baru yang sukar dilupakan.
Katanya, program selama 12 hari yang dikenali sebagai Integrasi Borneo 2.0 itu membolehkan mereka merasai pelbagai suka-duka penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak dalam mengharungi kehidupan seharian, selain membantu yang terdaya untuk memberikan sumbangan dari pengalaman menara ilmu kepada penduduk di situ.
``Kami telah melalui satu pengalaman cukup bererti, menaiki kesemua medium pengangkutan yang wujud di kedua-dua negeri termasuk keretapi desa dan bot untuk sampai ke kampung-kampung dan meredah jalan berliku bagi menjayakan usaha mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat.
``Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong menanam pokok-pokok, memberi ceramah motivasi kepada anak-anak Sabah dan Sarawak yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), memberi sumbangan kepada anak-anak yatim piatu dan orang tua serta pelbagai lagi,’’ ujarnya.
Tambah Ilham, walaupun beliau juga berasal dari Sabah, namun hakikatnya beliau tidak pernah merasai pengalaman seumpama itu yang disifatkan sebagai sangat mencabar dan memberi kesedaran kepadanya menyumbang khidmat bagi meningkatkan sosio-ekonomi pendudak Sabah dan Sarawak satu ketika nanti.
Tambahnya, beliau turut berharap agar program kesukarelawanan seperti yang dijalankan dengan kejasama UMS dan UNIMAS itu akan dapat diteruskan oleh pelbagai pihak bagi memberi impak lebih baik untuk pembangunan masyarakat setempat.
``Program yang kami jalankan ini juga tidak berakhir di sini kerana kita akan membuat susulan secara berkala khususnya terhadap adik-adik yang bakal menduduki peperikasaan bagi memastikan mereka mempunyai dorongan untuk berjaya di masa depan,’’ ujar beliau lagi.
Tambahnya, pasukan sukarelawan tersebut turut berkesempatan berbakti di dua buah kampung termasuk Kampung Jawa Sumbilang, Tenom, Sabah dan Kampung Jeriah, Sibu, Sarawak.
Penduduk kampung juga turut diraikan dengan acara khas pertandingan memancing, selain berpeluang menjalinkan ukhwah dengan mahasiswa melalui program baktisiswa muhibbah. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1245