USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGAJIAN TINGGI TEMUKAN BARAT DENGAN TIMUR

140414-30

PULAU PINANG, 14 April 2014 – Bidang pengajian tinggi telah menemukan orang-orang barat dengan orang timur serta menjadikan bidang ini satu bidang yang bermanfaat kepada masyarakat,” kata Profesor Dr David W. Champman ketika menyampaikan Siri Syarahan Umum Pengajian Tinggi anjuran Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata pertemuan barat dan juga timur ini adalah salah satu contoh yang baik bagi mengulas tajuk syarahan beliau iaitu Crossing Borders and Bridging Minds in Higher Education. Perbezaan dari segi budaya dan adat serta pendapat menjadikan ianya saling melengkapi bagi pembangunan bidang pengajian tinggi negara dan antarabangsa.

“Bidang komunikasi dan cara seseorang berkomunikasi meningkatkan kualiti sesuatu kerjasama dan menjayakan bidang pengajian tinggi negara dalam merentasi bidang dan sempadan,” tambah Profesor David yang berpengalaman bekerja di 50 buah negara dan sekarang beliau adalah Profesor di Department of Organisational Leadership, Policy and Development , University of Minnesota, Amerika Syarikat.  

140414-31

Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr See Ching Mey, siri syarahan ini adalah sebagai platform para pensyarah tempatan dan antarabangsa berkongsi pengalaman dan pengetahuan dan bidang pengajian tinggi.

“Pengantarabangsaan juga telah membuka peluang kepada negara untuk berkongsi, saling mempelajari serta mencetuskan idea-idea baru dan nilai untuk manfaat semua,” tambah See ketika merasmikan Siri Syarahan tersebut.

140414-32

Profesor David juga membincangkan kesan globalisasi pendidikan tinggi kepada persaingan karier graduan dan persediaan institusi pendidikan tinggi untuk menghadapi situasi ini. Beliau berpendapat bahawa para pelajar pada masa kini tidak berhenti merebut segala peluang yang muncul.    

Siri Syarahan ini adalah yang pertama dianjurkan dan bertujuan untuk mempromosi penyebaran serta perkongsian pengetahuan dalam pendidikan tinggi global serta memperkukuhkan kepimpinan, pembinaan kapasiti dan pengkhususan dalam penyelidikan polisi berkaitan pendidikan tinggi.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Muhamad Jantan dan Pengarah IPPTN Profesor Dr Ahmad Nurulazam. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 936

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024