KERJASAMA MALAYSIA-INDIA TUMPU SEMBILAN TERAS UTAMA
PULAU PINANG, 15 April 2014 – Lebih 30 delegasi yang berkait dengan bidang pengajian tinggi dari India dan Malaysia akan mengadakan perbincangan lebih terperinci susulan daripada mesyuarat Ke-2 Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang diadakan di India tahun lalu.
Perbincangan sempena Bengkel Perancangan Strategik Untuk Mempergiatkan Aktiviti Pergerakan Pelajar India dan Malaysia di antara Kedua-dua Negara itu akan tertumpu kepada sembilan teras utama yang digariskan pihak kerajaan untuk pembangunan bidang pengajian tinggi di kedua-dua negara.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, sembilan teras tersebut termasuk usaha ke arah memperkasakan bidang keselamatan makanan, keselamatan siber, kesihatan dan perubatan, tenaga, air, perubahan iklim, pertanian, biodiversiti dan sebagainya.
Katanya, perbincangan dua hari di antara India dan Malaysia itu turut akan memperincikan aspek-aspek lain termasuk usaha ke arah mengukuhkan aspek pertukaran pelajar dan staf, pembangunan program akademik secara bersama dan peluang kolaborasi yang berpotensi untuk pembangunan kedua-dua negara.
``Sebagai langkah permulaan setelah JWG tahun lalu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan bengkel bagi membuat perbincangan terperinci ke arah fokus yang ditetapkan.
``USM telah mengambil inisiatif untuk menjadi sekretariat kepada bengkel ini dan membuat satu perancangan strategik dan komprehensif bagi mempergiatkan aktiviti pergerakan pelajar India dan Malaysia di antara kedua-dua negara,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan bengkel tersebut di sini hari ini. India menghantar 10 wakil dari bidang pendidikan negara tersebut yang diketuai oleh Naib Pengerusi, University Grants Commission, New Delhi, Profesor Devraj H.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Pengerusi CAP Internationalization, Kementerian Pendidikan Malaysia, Profesor Dr. Mohd Ismail Abd Aziz.
Bengkel dua hari itu turut disertai oleh seorang wakil dari setiap institusi pengajian tinggi awam dalam negara (IPTA), dua wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan sekretariat dari USM.
Omar turut berkata, perbincangan seumpama itu pertama kali dianjurkan di antara kedua-dua negara dengan harapan agar usaha ke arah memperkasa pengajian tinggi dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi melibatkan campurtangan kerajaan dengan kerajaan.
``Kita berharap hasil daripada perbincagan ini dapat dizahirkan ke satu usaha yang boleh diformulasikan dengan polisi-polisi lebih kukuh untuk membawa bidang pengajian tinggi ke tahap tertinggi di samping berkongsi manfaat dalam kekuatan masing-masing di antara India dan Malaysia,’’ katanya.
Dalam pada itu, Devraj pula menegaskan, India komited dalam melebarkan kolaborasinya dengan dunia luar dan berharap kerjasama dengan Malaysia dapat dijadikan salah satu manfaat yang harus digembleng untuk meningkatkan bidang pengajian tinggi di negara itu.
``India menghantar wakil khas yang berkepakaran dalam bidang tertentu termasuk sains, sains sosial dan sebagainya. Kami komited untuk menjalankan kerjasama dan turut melihat potensi pengembangan kolaborasi, idea dan pandangan dalam banyak hal selain dari sembilan bidang yang dikhaskan.
``Kita turut melihat peluang atau runag untuk menjayakan kolaborasi khsusunya melihat potensi dalam penawaran biasiswa-biasiswa tertentu untuk mobiliti pelajar dan staf serta menjalankan program berkembar, penyelidikan bersama dan sebagainya,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1279