USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BENGKEL KHAS MALAYSIA-INDIA PERTINGKAT PENAMBAHBAIKAN – PESERTA

10276365 10203637571885690 1694389735 n

PULAU PINANG, 16 April 2014 – Bengkel Perancangan Strategik Untuk Mempergiatkan Aktiviti Pergerakan Pelajar India dan Malaysia di antara Kedua-dua Negara yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) disifatkan sangat bertepatan dalam usaha membuat penambahbaikan pelbagai aspek dalam pengajian tinggi.

Rata-rata peserta berpendapat, kesempatan mengadakan perbincangan secara komprehensif di antara kedua-dua pihak membolehkan proses percambahan idea dan pertukaran maklumat dalam meningkatkan pemahaman terhadap kekuatan masing-masing.

Salah seorang peserta, Profesor Madya Dr. Lee Chew Tin, pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kesempatan berada dalam kelompok perbincangan memberikannya satu peluang untuk mengenali India dengan lebih dekat.

Sebagai contoh katanya, melalui pembentangan oleh delegasi dari University Grants Commission, New Delhi, banyak maklumat terkini yang diperoleh yang membolehkannya memahami sistem dan keadaan pengajian tinggi di negara dengan jumlah penduduk kedua terbesar dunia itu.

``Walaupun perbincangan masih di peringkat awal, saya amat berharap agar ia dapat dijadikan satu platform yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak meningkatkan pergerakan pelajar India dan Malaysia di antara kedua-dua negara.

``Hal ini kerana, saya berpendapat kebanyakan dari pelajar kita kurang dalam memilih India sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian, mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu khususnya persepsi mereka terhadap keadaan di negara itu.

``Justeru dengan adanya perbincangan seumpama ini, kita dapat satu gambaran jelas mengenai pengajian tinggi di India dan manfaat yang dapat diperoleh melaluinya yang seterusnya dapat dikongsi dengan para pelajar. Sememangnya India juga mempunyai sistem pengajian tinggi yang amat memberangsangkan,’’ ujar beliau.

Selain itu, Naib Canselor, The English and Foreign Language University, Andhra Pradesh, Profesor Sunaina Singh pula berkata, perjumpaan kali pertama ini diharapkan dapat memberi peluang untuk kedua-dua negara menumpukan kepada kolaborasi yang dapat meningkatkan pembangunan bidang pengajian tinggi.

Katanya, antara keutamaan yang akan diperbicangkan adalah peluang mengadakan program latihan secara bersama dan melihat potensi menjalankan program berkembar dan pertukaran pelajar serta kakitangan akademik.

10276402 10203637571925691 408074361 n

Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, USM, Nishat Akhtar pula berpendapat, bengkel tersebut amat bertepatan untuk meningkatkan mobiliti pelajar India dan Malaysia.

Beliau yang telah lebih tiga tahun berada di USM berkata, banyak yang boleh dipelajari oleh kedua-dua negara dalam menunjukkan kekuatan masing-masing, khususnya dalam penawaran kursus-kursus pengajian dan program-program latihan.

``Melalui bengkel ini juga ia memberi ruang buat India dan Malaysia mencari persefahaman yang jitu dalam membangunkan bidang pengajian tinggi, selain melebarkan jaringan untuk perkongsian idea dengan lebih menyeluruh melibatkan persetujuan di peringkat kerajaan negara masing-masing,’’ katanya.

Kesemua peserta ditemui dalam majlis makan malam khas sempena Bengkel Perancangan Strategik Untuk Mempergiatkan Aktiviti Pergerakan Pelajar India dan Malaysia di antara Kedua-dua Negara yang dihoskan oleh USM di sini hari ini.

Lebih 30 peserta, 10 daripadanya adalah delegasi dari India akan memfokuskan perbincangan lebih terperinci susulan daripada mesyuarat Ke-2 Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang diadakan di India tahun lalu.

Hadir meraikan para peserta dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Adnan Hussein.

Bengkel dua hari itu turut disertai oleh seorang wakil dari setiap institusi pengajian tinggi awam dalam negara (IPTA), dua wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan sekretariat dari USM. Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 939

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024