MOU USM-PPSPPA - PERKUKUH KERJASAMA PENGURUSAN SISA PEPEJAL NEGARA
ALOR SETAR, 15 April 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA), sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memperkukuh kerjasama dalam pengurusan sisa pepejal negara.
Melalui memorandum tersebut, kedua-dua pihak bersetuju menjalinkan hubungan kerjasama dalam bidang penyelidikan pengurusan sisa pepejal, bidang-bidang akademik dan penulisan ilmiah, program-program pendidikan terutamanya berkaitan dengan kesedaran pengurangan penghasilan sisa dan kitar semula, serta program-program berkala seperti latihan dan persidangan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, kerjasama antara USM dan PPSPPA ini merupakan suatu contoh yang baik jalinan kerjasama strategik antara sebuah universiti penyelidikan dengan sebuah agensi kerajaan demi mencari penyelesaian kepada masalah-masalah pengurusan sisa terutamanya sisa pepejal negara.
“Malah kepakaran dan teknologi R&D yang ada di universiti dalam penyelidikan pengurusan dan pengitaran semula sisa-sisa buangan dapat dimanfaatkan oleh PPSPPA, dan PPSPPA boleh menghantar pegawai-pegawainya untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran di USM.
“USM pula boleh menghantar pelajarnya untuk menjalani latihan industri untuk menimba pengetahuan dan pengalaman praktikal di PPSPPA yang terdapat di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia,” kata Omar dalam sidang media yang diadakan selesainya majlis penandatanganan MoU USM-PPSPPA itu di sebuah hotel terkemuka di sini.
Omar menandatangani MoU bagi pihak USM manakala Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Ab. Rahim Md. Noor menandatangani bagi pihak PPSPPA, disaksikan oleh YB Haji Badrol Hisham bin Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, dan Pembangunan Insan Negeri Kedah.
Tambah Omar lagi, pihak USM telah membentuk satu pasukan penyelidik dan satu pasukan pelaksana program-program pendidikan dalam merealisasikan hasrat kerjasama ini.
Pasukan penyelidik USM akan diketuai oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan) Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Madya Dr. Norli Ismail dan beberapa orang penyelidik yang akan memfokuskan dalam bidang penyelidikan pengurusan sisa, manakala Penyelaras Sekretariat Kampus Sejahtera, Mohamad Shafiq Abdul Aziz akan mengetuai pasukan pelaksana bagi kerjasama program-program pendidikan USM-PPSPPA.
MoU ini direalisasikan ekoran perbincangan dua hala yang telah dibuat semasa kunjungan hormat Naib Canselor USM itu ke PPSPPA pada 24 Februari 2014 yang lepas.
Omar juga menyifatkan PPSPPA sebagai agen transformasi yang mampu merangka dan memperkenalkan pelbagai program pendidikan untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran dalam minda masyarakat Malaysia berhubung dengan pengurangan penjanaan sisa pepejal yang secara jangka panjang akan memberi impak positif kepada ekonomi negara, dan USM sedia membantu PPSPPA untuk mencapai matlamat murni tersebut.
Selain menandatangani MoU dengan USM, PPSPPA juga telah menandatangani MoU dengan dua buah hotel di sini, iaitu TH Hotel & Convention Centre dan Holiday Villa City Centre, untuk bekerjasama dalam mengurangkan penjanaan sisa makanan di hotel dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk pelanggan supaya tidak mengambil makanan yang berlebihan atau mengelakkan pembaziran makanan.
Majlis penandatanganan MoU tersebut diadakan serentak dengan majlis pelancaran Kelab Kitar Semula Sekolah-sekolah Negeri Kedah yang dirasmikan oleh YB Haji Badrol Hisham bin Hashim. Naib Canselor dan tetamu kenamaan juga dibawa melawat restoren dan cafe TH Hotel & Convention Centre untuk melihat tagline bagi Kempen Pengurangan Pembaziran Sisa Makanan “Love Food, No Waste”.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1270