USM PERKASA WARGA SEJAHTERA
PULAU PINANG, 17 April 2014, Universiti Sains Malaysia (USM) sedang mengkaji dan berusaha untuk memperkasakan konsep warga sejahtera holistik dalam kalangan kakitangan mahu pun pelajarnya.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, konsep kesejahteraan ini telah lama diperkenalkan oleh universiti melalui penubuhan Sekretariat Kampus Sejahtera mahu pun Pusat Sejahtera yang dahulunya dipanggil Pusat Kesihatan tetapi ditukar nama apabila USM mula menjalani program APEX lebih 5 tahun lalu,
“Pada tahun lalu, Sekretariat Kampus Sejahtera dijenamakan semula dengan menekankan kepada penglibatan anak-anak muda dalam pelbagai aktiviti kelestarian secara sukarela seperti mana kemeriahan Sambutan Earth Hour yang mendapat penyertaan lebih 3,000 pelajar ketika itu,” tambah Omar.
Tambah beliau lagi, sekarang ini pula USM sedang berusaha untuk melihat pemerkasaan konsep kesejahteraan ini secara lebih holistik termasuk dalam aspek fizikal mahu pun mental dalam kalangan seluruh warga USM.
“Saya telah pun memberikan penegasan tentang hal ini ketika membentangkan perutusan tahunan pada awal tahun ini yang disusuli dengan usaha untuk melihat kakitangan USM misalnya diminta membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala dan aktiviti-aktiviti penjagaan dan pengurusan kesihatan diberikan perhatian misalnya usaha mengadakan Jalan Sejahtera yang sering dilakukan di dalam kampus,” jelas Naib Canselor.
Antara usaha yang dibuat pada masa ini ialah untuk menyelaraskan juga semua aktiviti perundingan dan kaunseling untuk faedah warga universiti, terutamamya dalam menghadapi isu-isu kesihatan dan kecelaruan mental.
Menurut pakar psikologi kaunseling USM, Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey, usaha-usaha pemerkasaan dalam membantu mereka yang menghadapi masalah penyelesaian tertentu perlu dilakukan melalui penyediaan pasukan sokongan untuk tujuan tersebut.
“Kita sedar tentang peningkatan simptom dan petanda akibat dari tekanan kerja, masalah kewangan, masalah keluarga dan sebagainya yang dihadapi. Jadi, USM telah memobilisi sokongan daripada pakar-pakar khusus dalam bidang psikologi kaunseling dan kerja sosial, mahu pun para mentor dan mereka yang dilatih melalui program Fasilitator Kesihatan Mental - Mental Health Facilitator (MHF) untuk memainkan peranan sepenuhnya melalui Pusat Sejahtera secara bersepadu untuk menyediakan platform pencegahan dan intervensi,” jelas See Ching Mey.
Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) bertindak merealisasikan usaha ini melalui penyelarasan yang dibuat dengan pelbagai kepakaran di USM serta bantuan pertubuhan sukarela berdasarkan pengalamannya lebih 25 tahun mengendalikan perundingan dan kaunseling pelbagai kes kecelaruan dan kesihatan mental.
“Saya percaya jika kita berupaya untuk mewujudkan masyarakat dan kumpulan komuniti yang penyayang dan mengambil tahu, kita akan dapat memainkan peranan sewajarnya dengan menekankan kepada kepercayaan bahawa masih terdapat begitu ramai keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja apatah lagi masyarakat sekeliling yang penyayang dan prihatin untuk membantu mereka yang menghadapi kecelaruan mental mahu pun lainnya untuk dikongsi dan diatasi bersama,” tegas beliau lagi yang ditemui di pejabatnya hari ini.
Usaha-usaha sedang dibuat untuk menyatukan seluruh kepakaran yang ada, termasuk mereka yang berada di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM dalam bidang psikologi dan kaunseling, bahagian kaunseling Hal Ehwal Pelajar, para alumni kaunseling yang terlatih termasuk pada peringkat ijazah tinggi, kepakaran dalam bidang kerja sosial di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan serta pelbagai kepakaran di samping meneruskan usaha mengadakan program latihan Mentor USM dan melahirkan lebih Fasilitator Kesihatan Mental atau “Mental Health Facilitator” (MHF) yang menerima sijil National Board for Certified Counselors International (NBCCI) Amerika Syarikat.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus md. Isa
- Created on .
- Hits: 1144