USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELBAGAI PIHAK DIPELAWA SERTAI PERSIDANGAN PASCA BANJIR

DSC 0057k

PULAU PINANG, 5 Februari 2015 - Pelbagai pihak, pertubuhan, organisasi, institusi dan pertubuhan sukarela dipelawa menyertai Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015 pada 14 hingga 16 Februari ini di Dewan Utama Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kelantan. 

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam satu sidang media di sini menyeru semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dengan bencana banjir yang melanda Pantai Timur terutamanya di negeri Kelantan hujung tahun lalu agar mengambil bahagian dalam persidangan yang diadakan secara percuma ini.  

Persidangan dianjurkan oleh USM dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan sokongan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. 

"Kita akan menggunakan kaedah dan konsep pendengaran awam atau Town Hall Meeting yang membahagikan peserta kepada lima kumpulan bagi membincangkan tentang pencegahan (prevention), kesediaan, tindakan (response), pemulihan (recovery) dan tadbir urus (governance)," kata Omar. 

Tambahnya lagi, melalui persidangan ini diharapkan para peserta dapat berkongsi pengalaman dan pemahaman terhadap pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan bencana dan proses pemulihan bencana alam khususnya banjir yang pada akhirnya diharapkan dapat menyediakan dokumen komprehensif untuk gerak kerja pada masa hadapan. 

Persidangan ini akan menghimpunkan lebih 20 orang pakar dalam bidang pengurusan bencana dan pertubuhan termasuk pelbagai pertubuhan sukarela. Sehingga kini lebih 200 orang peserta telah mendaftar diri mengambil bahagian dalam persidangan ini.  

Yang ingin mengambil bahagian bolehlah menghubungi Sekretariat Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015,  Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, 11800 USM Pulau Pinang. Tel: 046535426;  Faks: 046535273;  Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa ​ 

  • Created on .
  • Hits: 1358

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024