MAGHRIBI INTAI INDUSTRI HALAL
PULAU PINANG, 16 April 2014 – Kerajaan Maghribi serta pihak industri bersama-sama bersatu bagi menghasilkan lebih banyak produk halal di negara tersebut. Oleh itu mereka menerokai peluang dan kepakaran dari pelbagai negara seluruh dunia untuk tujuan tersebut.
Sekumpulan wakil kerajaan, industri dan juga institut piawaian Maghribi telah melawat Universiti Sains Malaysia (USM) khasnya makmal Centre of Herbal Standardisation (CHEST) untuk melihat dari dekat kerja-kerja penyelidikan, makmal untuk ujian produk halal dan bukan halal serta peluang kerjasama untuk merealisasikan usaha tersebut.
Rombongan yang diketuai oleh Ketua Bahagian Pusat Perdagangan Antarabangsa, Geneva, Sadiq Syed disambut oleh Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang kemudiannya mengadakan perjumpaan tertutup dan mendengar taklimat khas mengenai CHEST dan juga Pusat Biologi Kimia (PBK) serta kemudiannya melawat beberapa makmal yang ada.
Menurut Naib Canselor, CHEST yang telah ditubuhkan pada tahun 2011 menawarkan pelbagai kemudahan ujian makmal dan mempunyai alat-alat tercanggih.
“CHEST membuka peluang kepada industri dan institusi lain untuk menjalankan ujian makmal mengenai kandungan bahan sesuatu makanan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Sadiq Syed berkata memandangkan Maghribi adalah negara Islam, semua menganggap barangan keluaran mereka adalah halal, walhal tidak semua bahan makanan di sana halal. Maghribi hanya mula menggunakan logo halal pada tahun 2012 berbanding negara-negara lain.
“Oleh yang demikian, pihak kami berusaha memberikan pendedahan kepada industri pembuatan mengenai pentingnya produk halal kepada negara Maghribi,” tambah Sadiq yang membawa kira-kira 20 orang delegasi ke Malaysia khususnya ke Kuala Lumpur dan negeri Pulau Pinang.
“Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan saya dapat lihat kerjasama yang baik antara kerajaan dan juga universiti. Fasiliti di USM sangat baik mengatasi yang terdapat di universiti-universiti besar di Maghribi, malah kami sangat teruja untuk menjalin kerjasama pada masa hadapan,” kata salah seorang delegasi iaitu Pengarah Pembangunan Cartier Saada, Zhor Alaoui.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Muhamad Jantan dan juga Pengarah PBK, Profesor Alexander Chong Shu Chien. Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1274