SEPULUH SEKOLAH DIIKTIRAF CEKAP TENAGA
IPOH, 18 April 2014 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Kursiah, Negeri Sembilan mendahului senarai sepuluh sekolah dalam negara yang menjadi finalis bagi program penilaian untuk Anugerah Sekolah Cekap Tenaga 1Malaysia yang dianjurkan di sini semalam.
SMK Tuanku Kursiah terpilih menjuarai anugerah tersebut berdasarkan kepada kecemerlangan dan komitmen tinggi dalam menjayakan lebih 17 aktiviti cekap tenaga di sekolah berkenaan melalui program-program khas yang dijalankan secara konsisten.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan cekap tenaga antara kelas yang kemudiannya turut dipanjangkan kepada isirumah, mendisiplinkan semua warga sekolah dengan mendenda individu yang membazirkan tenaga, melabelkan semua suis bagi mengelak pembaziran melalui aktiviti ‘try & error’ dan pelbagai lagi.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh SMK Raja Jumaat, juga dari Negeri Sembilan dan SMK Cyberjaya.
Program anjuran bersama oleh Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE>), Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Sustainable Energy Development Authority (SEDA) itu mula diperkenalkan tahun lalu.
Anugerah yang julung kali diperkenalkan pada tahun 2012 itu dirangka dengan fasa utama yang melibatkan lima buah sekolah terpilih dari setiap negeri, menjadikan sejumlah 70 buah sekolah dan hampir 10,000 pelajar yang terlibat di peringkat kebangsaan.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, program yang bertujuan memupuk kesedaran dan amalan cekap tenaga di kalangan pelajar sekolah menengah seluruh negara itu wajar diteruskan bagi membantu mengekang masalah pembaziran tenaga dalam urusan harian masyarakat.
Katanya, pihak kementerian berharap sekolah-sekolah yang terpilih berkenaan akan menjadi kumpulan perintis bagi program selanjutnya bagi menggalakkan lebih ramai pelajar Malaysia menghayati kepentingan tenaga dan menghargai alam sekitar.
``Cabaran utama dalam mentransformasikan masyarakat Malaysia sebagai Hub Teknologil Hijau khususnya bidang tenaga tidak hanya terhad dengan penyediaan prasarana dan infrastruktur semata-mata.
``Usaha mendidik pengguna khususnya di peringkat persekolahan juga perlu diberi perhatian agar tabiat mesra alam ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian mereka,’’ ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut yang dihadiri lebih 350 peserta yang terdiri dalam kalangan guru-guru sekolah.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Ketua Pegawai Eksekutif SEDA, Datin Badriyah Abd Malek dan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Rozi Puteh Ismail.
Mary turut menegaskan, beliau teruja dengan perkembangan yang ditunjukkan melalui program tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu inisiatif yang perlu diberi penekanan sewajarnya.
``Para pelajar pada hari ini adalah penggubal dasar, jurutera, arkitek dan sebagainya yang berperanan dalam mencorak persekitaran pada masa depan yang seharusnya menjadi tunjang dalam mempraktikkan amalan kecekapan tenaga,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, Ching Mey pula berkata, CETREE> telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan Tenaga Boleh Baharu (TBB), Kecekapan Tenaga (KT) dan Teknologi Hijau (TH) sepanjang penubuhannya sejak tahun 2000.
Katanya, USM terus menyokong usaha-usaha program pemindahan ilmu dan telah mengiktiraf CETREE> dengan anugerah status Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan di atas segala usaha yang telah dilakukan dalam bidang yang berkaitan. Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1157