USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEKALKAN WARISAN SUKAN TRADISIONAL

190414-1

PULAU PINANG, 19 April 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyeru lapisan belia hari ini agar tidak meminggirkan sukan tradisional yang diwarisi turun temurun agar generasi akan datang tidak lupa asal-usul mereka.

“Kita juga perlu menganggap sukan tradisional ini sebagai satu amanah yang perlu dijaga dan dikekalkan supaya generasi muda dapat memahami budaya masyarakat yang ada di sekeliling mereka,” ujarnya ketika merasmikan Karnival Sukan Tradisional (KASUTRA) 2014 ke-10, anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Universiti Sains Malaysia (PSSCUSM) di Padang Sukan A.

Menurut Omar lagi, sukan tradisional bukan sahaja dapat memupuk semangat muhibbah antara kaum, bahkan dapat menzahirkan erti perpaduan yang sepatutnya dipertahankan hingga ke akhir zaman.

“Selain daripada bersukan, penglibatan secara langsung dalam aktiviti sebegini sebenarnya dapat merangsang minda seseorang agar menjadi lebih kreatif dan inovatif, di samping kita diajar agar menggunakan bahan-bahan yang berada secara alamiah di sekitar kita dengan sebaiknya.

“Sebagai contoh permainan congkak, ianya menggabungkan elemen matematik kerana melibatkan pengiraan biji getah atau guli yang perlu ada dalam setiap lubang dan bagi sukan seperti tuju kasut pula, bagaimana kita menggunakan kemahiran dan ketajaman penglihatan kita bagi ‘meruntuhkan piramid’ yang dibina,” ujarnya.

Omar juga berharap agar pelapis anak-anak muda hari ini dapat mengangkat dan memperkenalkan sukan tradisional ini ke peringkat antarabangsa supaya ianya lebih dikenali di mata dunia.

190414-2

“Bukan sekadar hanya mencipta permainan ini secara maya dan dimainkan di platform android atau tablet semata-mata, tetapi carilah inovasi baru agar perkara sebegini dapat dipopularkan kembali dalam bentuk yang lebih menarik supaya ianya tidak ditelan zaman.”

“Pada masa yang sama, kita juga perlu pastikan keaslian sukan ini terus dipelihara agar usaha murni kita memartabatkan kembali kegemilangannya tercapai,” kata Omar lagi.

Karnival sehari ini turut menyaksikan lebih 15 jenis sukan tradisional dimainkan, antaranya sepak raga, tuju tin, kejar lari berjongket, gasing, galah panjang, guli, kaki gajah, dam aji, gusti lengan, tudung tin, batu seremban, tarik tali dan teng-teng.

Menurut pengarah program, Muhammad Arzaein Azha, karnival ini dianjurkan atas kesedaran pihaknya untuk memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan ukhwah dalam kalangan ahli persatuan dengan warga kampus dan masyarakat setempat.

IMG 3365

“Diharapkan niat murni kami ini setidak-tidaknya dapat memberi ilham kepada para belia di luar sana agar tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak berfaedah.”

Selain penyertaan dari USM, antara pihak luar yang dijemput memeriahkan KASUTRA ini termasuklah PSSC Universiti Utara Malaysia, PSSC Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA cawangan Merbok, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul dan Kelas Latihan Balik Pulau dan Taman Brown.

Teks : Mohamad Danial Shahri /Foto : Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2084

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024