USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA SUMBANGAN YAYASAN TUN SARDON

YTS1PULAU PINANG, 21 April 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan berupa pinjaman sebanyak RM100,000.00 untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan daripada Yayasan Tun Sardon (YTS). Sumbangan ini disampaikan pada peringkat kedua yang berjumlah RM50,000.00 dan yang pertama telah disampaikan tiga tahun lalu. USM yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Profesor Dr Adnan Hussien menerima sumbangan tersebut daripada Pengerusi YTS, Dato’ Mohd Rizal Al-Amin Tun Sardon.
 
Memorandum Persefahaman antara USM dan YTS telah ditandatangani pada tahun 2011, namun demikian, pada hari ini dua orang pelajar pertama menerima manfaat daripada sumbangan ini. Menurut Adnan, USM mempunyai 16 penabung individu, syarikat dan juga yayasan yang menyumbang untuk tujuan pinjaman jangka panjang kepada para pelajar.
 
“Pinjaman jangka panjang perlu dibayar oleh pelajar selepas tamat pengajian manakala pinjaman jangka pendek akan dipotong daripada pinjaman pelajar di semester berikutnya,” tambah Adnan.
 
“Pihak YTS telah mula mengumpul dana secara kecil-kecilan bermula tahun 1973 dan sumbangan daripada ahli banyak membantu YTS untuk bergerak serta menyalurkan sumbangan kepada pihak-pihak tertentu,” kata Mohd Rizal dalam sidang media khas selepas penyerahan cek kepada USM.
 
Tambah Mohd Rizal lagi, hubungan dengan USM bukanlah baru di jalinkan malah turut menerima kerjasama yang baik dalam setiap aktiviti YTS.
 
YTS2
 
Penerima pertama sumbangan YTS adalah Mohd Asmirul Azuan Mat Salleh dari Pusat Pengajian (PP) Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral dan Mohd Nazar Yamat, PP Seni masing-masing berada di tahun dua dan tiga pengajian.
 
“Pinjaman tersebut akan sangat membantu memandangkan saya berada di tahun akhir pengajian dalam bidang grafik yang memerlukan wang untuk percetakan projek akhir tahun,” kata Mohd Nazar, anak kelima dari enam adik beradik, tinggal bersama ibu tunggal yang menyara kehidupan dengan mengambil upah menjahit pakaian.
 
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Tabung Pinjaman Pelajar YTS Tahiruddin Tun Hamdan, Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan YTS Dato’ Mary Ritchie, Setiausaha YTS Koay Say Loke Andrew dan Pemangku Bendahari USM Rohayati Mohd Isa. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
 
  • Created on .
  • Hits: 1197

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024