USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YSS KE USM PERLUAS PERKONGSIAN ILMU KESUKARELAWANAN

yss1

PULAU PINANG, 22 April 2014 – Dua Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) meneruskan jelajah YSS ke institusi pengajian tinggi (IPT), kali ini ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi berkongsi misi dan visi kesukarelawanan seperti yang dibawakan oleh badan tersebut sehingga ke luar negara.

Kedua-dua Ahli Lembaga Pengarah tersebut ialah Mantan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Wan Ahmad Hazman Wan Daud dan Pemenang Anugerah Perdana Ikon VarsitiBH 2013, Mohd Hafiz Ariffin.

Wan Ahmad Hazman berkata, YSS yang ditubuhkan pada 2012 bermatlamat dalam mencapai objektif melahirkan ikon sukarelawan, menyelaras aktiviti kesukarelawanan, membantu masyarakat yang memerlukan bantuan serta khidmat komuniti di dalam dan luar negara.

Katanya, YSS juga berperanan dalam memperkenalkan Malaysia sebagai hub pendidikan yang melahirkan sukarelawan global serta komited dalam mempromosikan keamanan dunia dengan memupuk semangat setiakawan melalui perkhidmatan komuniti di dalam dan luar negara.

``YSS ditubuhkan dengan misi dan visi yang jelas. Mahasiswa digalakkan untuk menyertai YSS kerana ia menawarkan satu pengalaman yang amat berharga dan tidak dapat dicari di mana-mana,’’ ujar beliau sambil menyifatkan setiap misi kesukarelawanan menjanjikan pengalaman yang berbeza namun mengujakan.

Antara pengalaman yang dikongsi bersama lebih 200 siswa-siswi USM adalah program kemasyarakatan di dua perakampungan di Vietnam, yang rata-ratanya masih agak jauh ketinggalan dari arus kepesatan ekonomi seperti di negara ini.

Katanya, melalui misi bantuan khidmat komuniti seumpama itu, sukarelawan bukan sekadar dapat menabur khidmat bagi meringankan beban para penduduk namun dalam masa yang sama dapat bermuhasabah dan merasai keperitan mereka yang dihimpit dengan kemiskinan.

``Dalam misi kita ke tempat-tempat yang agak mundur, sukarelawan merasai setiap jerih yang ditanggung, termasuk tinggal bersama-sama keluarga angkat, makan makanan yang sama dan menjalankan aktiviti bersama mereka.

``Dengan cara ini secara tidak langsung kita dapat belajar pengalaman hidup dan menghargai apa yang telah dikecapi oleh rakyat di negara ini berbanding rakyat di negara-negara yang kurang bernasib baik,’’ katanya.

yss2

Rakan seangkatan dengannya, Mohd Hafiz pula berkata, dalam menyertai misi kesukarelawanan, seseorang itu perlu tahu dan faham dengan perkara yang dilakukan barulah impaknya dapat dirasai dan dikongsi dengan orang lain.

Katanya, seseorang yang komited untuk bergelar sukarelawan sudah menunjukkan mereka terdiri dalam kalangan orang-orang yang berbeza dan sanggup menghulur tangan pada mana-mana pihak yang memerlukan.

``Kita selalu dengar perkataan sukarela dan kesukarelawanan namun tak ramai yang benar-benar faham apa yang dimaksudkan dengannya. Hal ini penting untuk difahami kerana jika tidak, kita hanya melakukan perkara yang orang lain buat, keletihan dan tidak mempelajari apa-apa,’’ katanya.

Kedua-dua individu yang juga telah banyak menjalankan program kesukarelawanan dalam dan luar negara juga turut berkongsi pengalaman menjalankan program kemasyarakatan seperti di Vietnam Green Summer Volunteer Campaign 2013, Misi Bantuan Mangsa Banjir di Johor, Cameron Highlands dan sebagainya. Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 968

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024