iNESCO 2014 PERKASAKAN KELESTARIAN
NIBONG TEBAL, 19 April 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyeru warga USM untuk terus menerapkan amalan kelestarian di dalam apa jua yang dilakukan malah menjadikan kelestarian sebagai sebahagian daripada budaya hidup kita.
“Jadikan kelestarian sebagai teras dan tonggak kehidupan kita, dan bersama-sama kita berganding bahu merealisasikan hasrat USM untuk terus melaksanakan usaha-usaha ke arah memperkasakan kelestarian sekaligus menjadikan USM sebagai sebuah universiti APEX yang terkenal di seluruh dunia dengan amalan kelestariannya,” kata Omar ketika berucap di majlis penutupan dan makan malam International Engineering for Sustainability Conference (iNESCO) 2014 di Kampus Kejuruteraan USM di sini hari ini.
Omar turut mengingatkan golongan mahasiswa di kampus ini khususnya pelajar pasca siswazah untuk menggunakan kreativiti dan inovasi mereka untuk menerapkan elemen-elemen kelestarian dalam aktiviti pembelajaran, projek penyelidikan, penganjuran persidangan, pengurusan projek tahun akhir dan juga pelbagai aktiviti lain yang giat dilaksanakan di Kampus Kejuruteraan ini.
“Misalnya, USM sentiasa menyokong malah mengalu-alukan penganjuran persidangan antarabangsa seumpama ini yang boleh dijadikan platform untuk mahasiswa berkongsi dapatan penyelidikan mereka dengan penyelidik lain berkenaan dengan kejuruteraan kelestarian, dan saya berharap persidangan ini akan terus dianjurkan pada tahun-tahun mendatang serta menjadi suatu ‘flagship event’ di Kampus Kejuruteraan USM.
“Saya turut berbangga kerana iNESCO ini dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar sendiri dengan bimbingan dan sokongan daripada pensyarah dan tenaga pengajar Pusat-pusat Pengajian Kejuruteraan USM,” tambah Omar.
Bertemakan “Engineering Towards a Sustainable Future”, persidangan selama 2 hari ini yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kejuruteraan dengan kerjasama Institute of Industrials Applications Enginners (Japan), telah berjaya menarik lebih 60 orang peserta dari dalam dan luar negara yang membentangkan kertas kerja, poster dan kertas plenari.
Pada masa yang sama, Naib Canselor turut mengambil kesempatan untuk menghargai sumbangan besar Pusat-pusat Pengajian Kejuruteraan terhadap kejayaan USM secara menyeluruh terutamanya dari segi pencapaian akademik, penyelidikan dan program kelestarian.
“Misalnya, USM baru-baru ini diiktiraf berada pada kedudukan antara 100 - 200 universiti terbaik dalam semua bidang kejuruteraan dalam kalangan beribu universiti yang ada di seluruh dunia adalah sesuatu pencapaian yang boleh dibanggakan. Malah dua profesor yang merupakan “top performer” USM juga datang dari Kampus Kejuruteraan iaitu Profesor Dr. Hanafi Ismail dan Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed,” kata Omar lagi.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Profesor Dr. Hanafi Ismail yang juga pengucaptama iNESCO 2014, Pengarah Projek iNESCO 2014 Muhammad Mus’ab Umair Azeman serta Dekan-dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan USM.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1130