USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NABIL HUSAINI JUARA BRAIN BEE CHALLENGE WAKIL MALAYSIA KE AMERIKA SYARIKAT

brain1 

KUBANG KERIAN, 20 April 2014 - Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Perak Nabil Husaini Mohd Kamarul Abrar, 16, memenangi tempat pertama dan dipilih mewakili negara dalam Pertandingan “International Brain Bee Championship (IBB) 2014” yang akan berlangsung di Washington DC, Amerika Syarikat pada bulan Ogos ini. 

Nabil Husaini mengalahkan dua pencabar terdekatnya dalam Pertandingan Akhir Program “Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) 2014” Peringkat Kebangsaan yang disertai oleh 15 orang peserta dari dalam kalangan 13 buah sekolah menengah di Semenanjung Malaysia yang berlangsung di sini hari ini.

“Saya memang tidak menyangka menang kerana saingan amat sengit dan hebat-hebat semuanya, namun bersyukur dengan anugerah ini dan akan membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi cabaran yang lebih getir di peringkat antarabangsa nanti,” kata Nabil Husaini mengulas kejayaan yang dicapainya.

brain2

Untuk Pertandingan Mencipta Logo MBBC 2014 pelajar dari Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan, Izzalia Amalini Abdul Halim, 17, manakala Anugerah Al-Biruni yang diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada mana-mana peserta yang menunjukkan purata pemarkahan yang konsisten sepanjang penilaian pertandingan telah disandang oleh pelajar dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban, Negeri Sembilan, Thoriqziad Absha Abdul Rahman, 17.

Sementara itu, berucap merasmikan program tersebut Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey memuji usaha menubuhkan Kelab Neurosains di beberapa buah sekolah di Malaysia sebagai langkah yang baik untuk melatih para pelajar sekolah memahami bidang Neurosains yang dapat menanam minat mereka terhadap bidang tersebut.

Tambahnya, USM sentiasa membantu memberikan kepakaran dan kemudahan dalam pelbagai bidang ilmu dalam membantu proses pembangunan masyarakat dan bersedia sturun padang untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutamanya dalam memperkasakan ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang ada pada hari ini dengan kesungguhan yang ditunjukkan dalam memastikan program yang dianjurkan berjalan dengan lancar dan penuh meriah,” katanya lagi.

brain3

Hadir sama ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Din Suhaimi Sidek, Ketua Jabatan Neurosains PPSP, Profesor Dr. Jafri Malin Abdullah, wakil-wakil daripada Universiti Malaya dan Universiti Utara Malaysia, para guru dan pelajar sekolah terlibat serta para pegawai utama USM yang lain.

Teks dan foto: Mohd Rodin Che Yusoff

 

  • Created on .
  • Hits: 2060

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024