SISWA USM MANFAAT PELUANG DIALOG BERSAMA TOKOH
PULAU PINANG, 23 Apr.2014 – Siswa-siswi Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang berinteraksi dengan tokoh politik terkemuka tanah air, Tan Sri Datuk Seri Utama Shahrir Abdul Samad dalam program khas Sesi Dialog Bersama Ahli Majlis Penasihat Iskandar Malaysia itu di sini baru-baru ini.
Antara topik yang dikongsi oleh Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tersebut adalah perjalanan kariernya, pengalaman serta perkongsian falsafah hidup yang menjadikan beliau berjaya sehingga ke tahapnya pada hari ini.
Shahrir berkata, beliau sering mempraktiskan cara kerja yang kontra dan berpendapat bahawa jawatan bukan faktor utama yang membolehkan seseorang untuk berkhidmat kepada komuniti.
``Saya sangat percaya dengan konsep kerja yang mudah iaitu memikir serta melontarkan idea dan berusaha melaksanakan idea dengan komited, barulah hasil untuk membawa perubahan dapat dilakukan, bukan bergantung dengan cara biasa dan hanya menunggu arahan dari atas.
``Kita juga perlu mengambil peluang yang ada untuk berjaya. Gunakan pendekatan kontra seperti yang diamalkan dalam teori limpahan. Perubahan tidak semestinya datang dari atas kerana ia juga boleh bermula dari peringkat bawahan,’’ ujarnya.
Mengulas pertanyaan siswa berkaitan pandangannya mengenai sejauh mana Malaysia bersedia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, beliau menegaskan, mentaliti rakyat perlu diberi perhatian terlebih dahulu.
Katanya, banyak lagi yang perlu diperbaiki khususnya dalam membentuk komuniti masyarakat yang mempunyai mentaliti sebagai rakyat negara maju, memupuk minat suka membaca dan kaya dengan ilmu pengetahuan.
``Malaysia juga perlu menggalakkan masyarakat untuk sekurang-kurangnya mempunyai satu hobi atau pengkhususan dalam perkara-perkara yang di luar bidang kerja atau tanggungjawab mereka.
``Sebagai contoh kita perlu mempunyai satu persekitaran yang mana rakyat tidak hanya tertumpu kepada soal kerja masing-masing sebaliknya turut melakukan aktiviti lain termasuk kebajikan, kesukarelawanan, berminat dengan alam sekitar dan sebagainya,’’ ujarnya.
Katanya, semua orang mahu melihat negara milik mereka bergelar negara maju namun perkara itu perlu seiring dengan perkembangan komuniti masyarakatnya, bukan bergantung kepada kepesatan fizikal semata-mata.
Dalam pada itu, Shahrir turut berkongsi pengalamannya berkhidmat dengan individu berperanan besar dalam memajukan negara termasuk menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Abdul Razak Hussein Al-Haj, Tun Hussein Dato' Onn dan Tun Musa Hitam.
Sesi dialog anjuran Sekretariat Dewan Perundingan Pelajar (Parlimen Mahasiswa) USM, bertujuan menjadi platform perbincangan isu-isu semasa meliputi ekonomi, sosial dan politik serta perkembangan pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia.
Selain itu, program itu juga berperanan dalam menyediakan peluang kepada bakal-bakal graduan USM untuk meneroka peluang kerjaya yang terdapat di Wilayah Iskandar Malaysia.Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1060