BANGUNKAN MODEL BAHARU PENGAJIAN TINGGI, TITAH CANSELOR
PULAU PINANG, 25 April 2014 - Universiti perlu berani membangunkan model baru pengajian tinggi dalam memastikannya terus relevan dengan keperluan dan cabaran masa hadapan.
Bertitah dalam Majlis Santapan Malam Canselor sempena Upacara Konvokesyen Ke-49 Universiti Sains Malaysia (USM), Canselornya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah, berada pada kedudukan sekarang bukanlah mudah namun jenama USM sudah agak kukuh pada masa ini, namun ia perlulah diperkasakan secara berterusan.
“Universiti perlu menyediakan model baru dalam pengajian tinggi yang walaupun sukar namun jika ingin terus relevan, kita perlu berani terokai peluang-peluang yang ada dengan menyediakan model yang boleh menjadi peneraju dalam pengajian tinggi ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran sukar pada masa hadapan,” titah baginda.
Baginda juga menyeru agar semua pihak bekerjasama menjayakan hasrat tersebut.
“Tatkala berada dalam kedudukan yang penuh cabaran, satu-satunya cara untuk terus ke hadapan ialah bekerja bersama-sama dengan memanfaatkan pengalaman dengan kekuatan ilmu yang dimiliki, sentiasa pentingkan akauntabiliti, berstrategi dan berfokus agar terus berupaya menghadapi apa jua cabaran yang ada,” tegas baginda lagi.
Tambah baginda, yang penting ialah bagaimana memanfaatkan sumber-sumber terhad yang ada untuk terus berada ke hadapan dan berusaha mengurangkan hal-hal yang melambatkan usaha yang dibuat sama ada dalam penyelidikan, pembangunan sahsiah pelajar, akademik malah menjana pendapatan.
Baginda juga meminta agar kakitangan dan pelajar universiti serta yang terlibat dalam pengurusannya untuk lebih kreatif, inovatif, realistik serta mewujudkan sinergi dengan pihak lain untuk kita terus berjaya.
“Dengan kreativiti, kita akan berupaya keluar dari kekangan yang ada melalui pelbagai jalan dan cara dalam semua usaha kita termasuk memberi hak upaya dan kepercayaan kepada pelbagai pihak termasuk para mahasiswa untuk bergerak ke hadapan,” titah baginda.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis D.Y.M.M Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas dan Toh Puan Hajah Majimor Shariff, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman serta ahli-ahli Lembaga Gabenor dan ahli-ahli Senat USM.
Seramai 1,088 orang graduan akan menerima ijazah masing-masing dalam Upacara Konvokesyen Ke-49 esok menjadikan keseluruhannya 135,739 orang siswazah dikeluarkan USM iaitu 115,270 orang siswazah ijazah pertama dan 20,469 siswazah ijazah tinggi.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 921