USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERSAMA PERKUKUHKAN KEDUDUKAN USM, KATA NAIB CANSELOR

IMG 3651

PULAU PINANG, 25 April 2014 - Semua pihak diminta berganding bahu dan menggembleng tenaga dan upaya untuk membawa Universiti Sains Malaysia (USM) terus ke hadapan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menegaskan bahawa, walaupun berada pada sesuatu kedudukan yang baik, namun untuk mempertahankan apatah lagi meningkatkannya memerlukan kerjasama dan gandingan kerja dengan semua pihak termasuk membangunkan kekuatan bersama-sama institusi ternama di seluruh dunia.

Ketika berucap di Majlis Santapan Malam Canselor sempena Upacara Konvokesyen Ke-49 esok, Omar menambah universiti juga perlu kembali kepada isu asas dan fundamental untuk kembali melihat DNA yang ada dalam memastikan ia dapat berperanan dengan sewajarnya mengikut apa yang sebenarnya diperlukan daripada universiti dalam memenuhi tuntutan masyarakat dan negara.

“Untuk mencapainya semua pihak perlu melihat hal ini dengan serius daripada kita membuang banyak masa membincangkan hal-hal yang tidak ada kaitan dengan asas dan fundamental universiti dengan memainkan peranan sewajarnya dalam memacu kecemerlangan bukannya memberikan perhatian kepada hal-hal lain yang tidak ada kena mengena dengan peranan dan tanggungjawab yang ada,” kata Omar.

Menurut beliau, USM terus mengorak langkah meningkatkan prestasinya dalam semua bidang namun penambahbaikan tidak akan berlaku secara mendadak yang bergantung juga kepada pelbagai faktor termasuk sumbangan dari kakitangan, pelajar dan dana yang mencukupi untuk membantu meningkatkan pencapaian yang ada.

Omar merujuk kepada pencapaian USM baru-baru ini yang menjadi “Top 50” (pada nombor 28) dalam bidang (1) Sains Persekitaran; Pada kedudukan 51-100 dalam bidang (1) Farmasi, (2) Sains Komputer dan Sistem Maklumat, (3) Kejuruteraan Kimia, (4) Kejuruteraan Awam dan Struktur, dan (5) Kejuruteraan Mekanik, Aeronautik dan Pembuatan; Pada Kedudukan 101-150 dalam bidang (1) Komunikasi dan Kajian Media, (2) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, dan (3) Pendidikan dan Pada kedudukan 151-200 dalam (1) Ekonomi dan Ekonometrik dan (2) Sains Bahan.

Menurut Omar, perancangan USM seterusnya ialah untuk meningkatkan lagi 'talent pool' dalam kalangan staf dan pelajar, meningkatkan prasarana yang ada, dan meningkatkan kerjasama dengan universiti-universiti tersohor di dunia.

Oleh yang demikian, tambah Omar, USM perlukan sokongan semua yang terlibat sebagai pemegang taruh kerana berada pada sesuatu kedudukan yang dianggap tinggi dan hebat semenangnya menjadi hasrat seseorang atau sesebuah organisasi tetapi untuk kekal dan meningkatkan lagi pencapaian yang ada adalah cabaran besar yang perlukan kerja keras, komitmen tinggi, kesungguhan dan “passionate” serta kerja bersama-sama.

IMG 3655

“Itulah sebenarnya hasrat USM untuk berusaha mencapainya dalam memartabatkan ilmu pengetahuan, pemajuan dan perkembangan Penyelidikan dan Inovasi apatah lagi berusaha dalam pembangunan sahsiah mahasiswa dan siswazah secara holistik, berdaya saing dan mengintegrasikan dengan nilai global yang teras utamanya ialah agama dan nilai-nilai hidup penuh integriti, beretika serta nilai-nilai kelestarian masa hadapan,” tegas Omar.

Naib Canselor USM itu juga menyambut baik cadangan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang satu ketika dahulu untuk mewujudkan Anjung Mutiara Ilmu dalam mengadakan wacana ilmu dan buku, yang boleh dibuat sama ada di kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang atau pun di USM sendiri.

“Tuan Yang Terutama Tun berhasrat agar USM dapat menerajui usaha wacana ilmu dan buku untuk dibincang dan didebatkan demi faedah pembangunan dan perkembangan ilmu apatah lagi dengan minat mendalam Tuan Yang Terutama Tun terhadap dunia Sastera dan Budaya yang sepatutnya dapat kita realisasikannya segera, misalnya dalam menelusuri Sejarah Tun Seri Lanang atau melihat kepada keluasan dan kebijaksanaan kita dalam pelbagai bidang serta bagaimana budaya ilmu ini berkembang di negara ini yang teras asalnya ialah Islam,” kata Omar.

Berangkat di majlis tersebut ialah Raja Perlis yang juga Canselor USM, D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perempuan Perlis D.Y.M.M Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas dan Toh Puan Hajah Majimor Shariff, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan serta ahli-ahli Lembaga Gabenor dan ahli-ahli Senat USM.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1037

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024