USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GUNAKAN ILMU UNTUK LAKUKAN KEBAIKAN, TITAH CANSELOR USM

 DSC0672

PULAU PINANG, 26 April 2014 - Siswazah diseru untuk memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk melakukan kebaikan kepada masyarakat, negara dan dunia.

Bertitah kepada siswazah dalam Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-49 pagi, Raja Perlis selaku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail mengingatkan bahawa sesungguhnya ilmu adalah untuk kebaikan iaitu untuk berbuat baik dan untuk memberikan kebaikan kepada pihak lain.

“Para siswazah haruslah berusaha untuk meningkatkan kebaikan itu termasuk kepada diri sendiri, membuat perubahan kepada kualiti hidup masyarakat dan sanggup berkongsi ilmu yang ada secara sukarela untuk kebaikan semua kerana ilmu yang dikuasai menjadikan seseorang itu berupaya untuk memberi dan membalas budi masyarakat dan negara, biar di mana pun kita berada,” titah baginda.

Ungkap baginda, bagaikan sebiji benih berharga, dicampak ke laut menjadi mutiara, dilambung ke langit menjadi kejora, ditabur di darat menjadi intan permata, biar di mana bumi dipijak, sumbangannya mampu membawa kebaikan hasil daripada pegangan ilmu yang dituai.

STORY12

Baginda turut mengingatkan para siswazah agar sentiasa berpegang kepada amalan beragama, menyuburkan budaya memberi dan berjasa, hormat dan taat kepada ibubapa dan menjaga nilai kekeluargaan dalam kasih sayang di samping itu menjaga amanah.

Baginda turut merakamkan rasa dukacita dengan tragedi kehilangan MH370 dan menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan usaha semua pihak, tempatan mahupun kerjasama peringkat antarabangsa dalam membantu mencarinya.

“Saya berharap ia mengajar kita tentang makna kehilangan, perpaduan, kesabaran serta memahami dugaan yang terjadi untuk dihadapi bersama-sama dengan kekuatan dan ketabahan,” titah baginda lagi.

STORY14

Baginda menyampaikan ijazah kepada 373 orang siswazah pada Upacara tersebut. Turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis D.Y.M.M Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman serta ahli-ahli Lembaga Gabenor dan ahli-ahli Senat USM.

USM BERHASRAT LAHIR SISWAZAH UNTUK BEKERJA DI LUAR NEGARA

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyatakan hasrat USM untuk melahirkan siswazah tempatan yang dapat bekerja dengan syarikat multinasional dan pertubuhan di luar negara.

“Pada masa ini kira-kira 20% siswazah USM berbuat demikian dan kita berhasrat untuk meningkatkan kepada 40% dalam masa lima tahun yang akan datang melalui pelbagai program termasuk APEX Scholar untuk membentuk mereka untuk menguasai budaya kerja antarabangsa dan juga memahami budaya global yang merentasi agama, bahasa dan sebagainya,” kata Omar.

DSC 0137

Tambahnya lagi, yang penting ialah keupayaan USM untuk berusaha melahirkan siswazah yang mempunyai minda global, berwawasan dan berupaya untuk bersaing di pentas dunia apatah lagi dengan keupayaan universiti menarik kehadiran lebih ramai pelajar antarabangsa dalam memastikan integrasi budaya dan pemikiran global dapat ditingkatkan secara langsung serta pelbagai program dilakukan untuk meningkatkan percambahan nilai hidup berteraskan dunia dalam kalangan mahasiswa kita.

STORY15

“Hasrat dan hala tuju masa hadapan USM nanti terhadap mahasiswa dan siswazahnya iaitu untuk terus menjadikan dunia ini sebagai ruang kerjayanya, menerokai seluruhnya peluang dan bersedia untuk keluar dari kepompong yang ada kerana kita tidak boleh lagi untuk terus berada di sini selamanya dan mengharapkan peluang ekonomi lebih luas datang bergolek, sebaliknya anak-anak muda kita ke luar dan menghadapi dunia yang terbuka dan luas terbentang dengan penuh kebijaksanaan dan “wisdom” yang ada, memahami nilai-nilai sejagat, menghormati adab dan budaya luar dan sentiasa berusaha mengintegrasikan diri dengan keperluan yang ada dengan menanamkan keyakinan dan memberikan bekalan kekuatan untuk para siswazah terokainya dengan realistik dan berani,” tegas Omar lagi.

Naib Canselor USM itu juga menegaskan bahawa inilah juga sumbangan USM membina dan membangunkan negara serta memacunya untuk masa hadapan yang bermakna, termasuklah dalam mendidik para siswazah menerapkan nilai kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Kita tahu dan sedar betapa cabaran besar dalam membangunkan sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia ialah perpaduan dan jati diri yang selama ini amat dibanggakan di mana kita meraikan kepelbagaian dalam satu kesatuan yang kukuh dan utuh, berilmu dan bertindak berteraskan nilai-nilai ilmu, menjadi seumpama padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi apatah lagi kita ingin lahirkan mereka yang mampu berfikir dan berpandangan jauh, kreatif dan inovatif, bijaksana dalam pertimbangan dan keputusan,” jelasnya lagi.

IMG 4092

Keseluruhannya 135,739 orang siswazah dikeluarkan oleh USM sejak 45 tahun penubuhannya iaitu 115,270 orang siswazah ijazah pertama dan 20,469 siswazah ijazah tinggi.

“Kita akan melangkah ke Upacara Konvokesyen Ke-50 pada November 2014 nanti dengan mempunyai bilangan siswazah yang begitu besar, para alumni yang kini berada di seluruh pelosok dunia dalam pelbagai lapangan, daripada pemimpin politik dan negara membawa kepada kepimpinan organisasi sama ada universiti mahupun korporat yang sekarang ini sudah pun berada di serata pelosok dunia,” kata Omar.

IMG 4095

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1172

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024