USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEROKAI PELUANG DI MANA SAHAJA, KATA MUSTAFA MANSUR

 

STORY21

PULAU PINANG, 26 April 2014 - Siswazah hari ini perlu menerokai peluang kerjaya di mana sahaja tetapi jangan lupa terus mempertahankan jati diri dan memberikan sumbangan kepada negara.

Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Mustafa Mansur mengingatkan siswazah bahawa dunia terbentang luas untuk diterokai. Justeru itu, jangan hadkan apa yang ingin dicapai dan di mana ingin mencapainya.

“Terokailah setiap peluang dan carilah di mana sahaja, bukan hanya di tanahair sendiri, malah juga para siswazah perlu mencabar diri untuk menerokai lebih jauh lagi dengan menjadikan seluruh dunia ini sebagai padang permainan dalam mencapai cita-cita dan membina kerjaya,” katanya kepada 715 orang siswazah yang disampaikannya dalam Sidang Kedua Upacara Konvokesyen Ke-49 USM di sini.

STORY22

Mustafa menggesa agar para siswazah berusaha untuk berjaya di mana sahaja dengan menambahkan ilmu pengetahuan termasuk menguasai bahasa-bahasa utama dunia, memahami dan menyesuaikan diri dengan pelbagai budaya luar yang ada, mencabar diri untuk bersaing dan menjadi pemain utama, berfokus kepada kekuatan yang ada dan bidang yang ingin dikuasai – perniagaan, korporat, aktiviti sukarela, menolong orang lain di mana sahaja yang memerlukannya,

Tambahnya lagi, para siswazah perlu mengambil peluang yang terbuka luas.

STORY24

“Syaratnya berpeganglah kepada adab dan nilai agama, beretika, berintegriti dan berakauntabiliti tinggi, bertoleransi dan jangan lupa dari mana kita bermula, mengingati jasa ibubapa dan pengorbanan pelbagai pihak termasuk guru-guru apatah lagi tanahair tercinta,” kata Mustafa lagi.

Hadir di upacara tersebut ialah Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, ahli-ahli Lembaga Gabenor dan ahli-ahli Senat USM. Keseluruhannya USM mengeluarkan seramai 1,088 orang graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam Upacara Konvokesyen Ke-49.

STORY23

Sementara itu 3 orang graduan yang telah kembali ke rahmatullah turut menerima ijazah secara anumerta iaitu seorang graduan Ph.D pada Sidang Pertama manakala seorang graduan Sarjana Kemasyarakatan dan seorang Sarjana Muda Sains (PBP) akan dianugerahkan pada Sidang Kedua.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 991

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024