USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENERIMA PH.D DI USIA 64 TAHUN

IMG 4033

PULAU PINANG, 27 April 2014 – Zainon Ghazaley membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu dan pada usia 64 tahun beliau menggenggam ijazah Ph.D. Berbekalkan dorongan suami, Ali Yunus dan juga bantuan kewangan kedua-dua orang anak beliau, Suraya dan Muhammad Shafiq, Zainon dapat menghabiskan pembelajaran dalam tempoh yang ditetapkan.

“Jangan berhenti belajar, teruskan pengajian kerana dengan dasar negara iaitu Dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat sesiapa sahaja boleh belajar dan perlu merebut peluang untuk belajar,” nasihat Zainon kepada semua anak muda dan juga warga emas ketika ditemui selepas menerima ijazah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-49 di sini hari ini.

Beliau bersara semasa berumur 45 tahun dan mengajar secara sambilan di Institut Sosial Malaysia. Zainon juga telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang setelah bergraduasi Ph.D dengan tajuk ‘Keperluan Psikologi Sosial Warga Tua Pelbagai Bangsa’.

IMG 4049

Bagi menyempurnakan tesis beliau, Zainon telah menubuhkan Kelab Warga Tua Cemerlang di Kajang dengan ahli seramai lebih 10 orang dan menjalankan aktiviti seperti senamrobik dan kelas komputer kepada warga Kajang yang berusia lebih 50 tahun.

“Selepas tamat pengajian tersebut, saya telah menerima banyak tawaran mengajar termasuk di USM,” tambah Zainon.

Zainon menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari USM pada tahun 1985 dan Sarjana Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut Suraya, ibunya mendapat motivasi daripada rakan-rakan yang telah mempunyai Ph.D untuk terus belajar.

Sementara itu, dua adik-beradik, adik, Wan Maizura Wan Mahmud dan kakak, Wan Sharifah Mastura Wan Mahmud serta suami, Mutalib Mohd Noor masing-masing menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengajian Kurikulum).

IMG 4053

Menurut Wan Sharifah, pengorbanan ibu beliau, Hasnah Hassan, 67 yang sanggup menjaga anak-anak ketika beliau dan suami menghadiri kelas setiap hari sangat-sangat membantu kejayaan beliau.

“Jika dulu ibu berkorban memberikan pendidikan kepada kita, sekarang anak-anak saya juga terpaksa berkorban,” tambah beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu, Bagan Serai manakala Mutalib mengajar di SMK Bagan Serai dan kedua-duanya mengajar Pendidikan Khas.
 
“Harapan saya adalah untuk memberikan motivasi kepada anak-anak sendiri dan juga pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Mutalib yang mempunyai tiga orang anak.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1121

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024