PELAJAR PPPBP ANJUR HARI KEBUDAYAAN
PULAU PINANG, 28 April 2014 – Pelajar Ijazah Tinggi Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) buat pertama kalinya menganjurkan Hari Kebudayaan yang mempamerkan kebudayaan dari lebih 10 buah negara termasuk Jordan, Iraq, Iran, Indonesia dan India.
Menurut Dekan PPPBP, Profesor Madya Dr Aldrin Abdullah, program sebegini dapat mengeratkan hubungan pelajar dari negara yang pelbagai serta bertukar-tukar budaya.
“Jika sebelum ini, PPPBP hanya menganjurkan karnival makanan antarabangsa, namun pada kali ini, fokus telah dikembangkan ke kebudayaan yang juga merangkumi pelbagai jenis makanan, pakaian, muzik, kraftangan dan juga tarian,” tambah beliau yang turut merasmikan program sehari tersebut.
Walaupun hanya untuk sehari, para pelajar harus mengambil peluang yang ada untuk mengenali budaya masyarakat luar walaupun tidak berpeluang melancong ke negara tersebut.
Turut bersama-sama memeriahkan program ini adalah Timbalan Duta Iraq ke Malaysia, Munif Ali Hussain, Penasihat Kebudayaan di Kedutaan Iraq Profesor Dr Hassan Al-Shara’, Timbalan Dekan (Penyelidikan) PPPBP merangkap Penasihat Program Profesor Madya Sr. Dr. Mastura Jaafar dan Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah Profesor Dr Fauziah Ahmad.
“Program sebegini sangat baik serta dapat menjalinkan kerjasama dan mempelajari pelbagai budaya negara-negara yang mengambil bahagian. Kedutaan Iraq sangat menyokong usaha sebegini serta usaha ini dapat mengeratkan hubungan di antara kedutaan-kedutaan lain di Malaysia,” kata Munif.
Majlis perasmian telah diserikan dengan persembahan tarian klasik India, Melayu, Iraq dan juga Iran. Disamping itu juga diselitkan nyanyian lagu-lagu Melayu oleh kanak-kanak Iran dan Syria. Selesai majlis perasmian semua tetamu dibawa melawat pameran yang diadakan di ruang legar Pejabat PPPBP.Teks: Nor Rafizah Md Zain /Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 978