USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRO-CANSELOR KONGSI HIBA

IMG 4254
 
PULAU PINANG, 28 April 2014 - Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur menzahirkan kesedihan dan turut hiba ketika menyampaikan skrol kepada waris penerima Ijazah Anumerta dalam Upacara Konvokesyen Ke-49 USM di sini baru-baru ini.
 
Ijazah Anumerta itu dianugerahkan kepada Allayarham Mohd. Jasmadey Jamaludin, 27 tahun, graduan Ijazah Sarjana Sains Politik yang telah kembali ke rahmatullah pada Mei tahun lalu.
 
“Saya turut berasa hiba dengan kehilangan graduan kita dan tidak sempat untuk merasakan hasil titik peluh beliau belajar. Saya doakan keluarga Allahyarham Mohd Jasmadey terus tabah dan mendoakan roh beliau dirahmati Allah,” kata Pro-Canselor.
 
DSC 0249
 
Allahyarham Mohd Jasmadey meninggal dunia secara mengejut ketika menikmati minuman di sebuah gerai di kampung halaman beliau di Terengganu.
 
“Beliau tiba-tiba pengsan ketika sedang minum bersama rakan-rakan selepas bertugas sebagai pemerhati Pilihan Raya Umum ke-13,” kata kakak Allahyarham, Junariah Jamaludin, 29.
 
“Sebelum meninggal, beliau banyak bercerita pasal kerjaya dan keinginan beliau untuk menjadi seorang pendidik,” tambahnya lagi yang hadir bersama ibu, dan seorang lagi adik Allahyarham.
 
Anak ketiga daripada enam beradik ini seorang yang aktif serta mempunyai minat yang mendalam dalam membaca dan penyelidikan. Hasrat beliau untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah tidak kesampaian begitu juga hasrat untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa dua minggu lagi sebelum kejadian. 
 
IMG 4194
 
Hadir di upacara tersebut ialah Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, ahli-ahli Lembaga Gabenor dan ahli-ahli Senat USM.
 
Omar turut menyuarakan rasa simpati dan berharap keluarga beliau dapat menjadikan penganugerahan tersebut sebagai kenangan dan penyuntik semangat untuk ahli keluarga yang lain dalam menimba ilmu.
 
Beliau yang juga mengenali Allayarham Mohd. Jasmadey turut memberitahu keluarganya bahawa Allayarham sememangnya sorang pelajar yang berdedikasi dan aktif dalam pelbagai lapangan.
 
DSC 0245
 
Seramai 1,088 orang graduan menerima ijazah masing-masing dalam Upacara Konvokesyen Ke-49 menjadikan keseluruhannya 135,739 orang siswazah dikeluarkan USM iaitu 115,270 orang siswazah ijazah pertama dan 20,469 siswazah ijazah tinggi.
 
Secara keseluruhan, tiga Ijazah Anumerta turut dianugerahkan kepada waris masing-masing dalam upacara penganugerahan tertinggi dalam kalendar akademik tersebut. Teks: Shazreen Sahimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa dan Yong Check Yoon
  • Created on .
  • Hits: 1229

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024