GO BLUE: USM AMBIL INISIATIF PELIHARA LAUTAN DAN PANTAI
PULAU PINANG, 28 April 2014 – Menyedari hakikat samudera dan pantai semakin diancam masalah pencemaran, sekumpulan warga Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan satu program khas untuk memelihara khazanah bumi tersebut.
USM melalui Kelab Selam dengan kerjasama syarikat pengeluar makanan berasaskan laut, Pacific West menganjurkan Ocean Awareness Week (OAW) 2014 yang akan berlangsung dari 3 Mei hingga 10 Mei di USM dan sekitar Pulau Pinang.
Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Muhd. Hanif berkata, program tahunan yang masuk edisi pengajuran ke-2 pada tahun ini diadakan dengam matlamat untuk mempromosikan kesedaran orang awam terhadap dua isu utama termasuk Spesis Hidupan Lautan Terancam dan Bahan-bahan Buangan Pantai.
Katanya, dengan slogan ‘Go Blue’, OAW dirancang bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan samudera dan pantai, apatah lagi sumber lautan yang menjadi makanan utama kebanyakan dari masyarakat di seluruh dunia.
``OAW dijalankan bersempena dengan Hari Lautan Sedunia yang diraikan seluruh dunia sejak tahun 1992 untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya laut sebagai sumber makanan, oksigen dan ubat. Sambutan ini turut diiktiraf secara rasmi oleh United Nation (UN) pada tahun 2008,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi memperincikan program tersebut di sini semalam. Turut hadir ialah Pengurus Penjenamaan Pacific West, Jady Ong dan Pengerusi OAW’14, Quek Yew Aun.
Muhamad turut berkata, ini adalah kali pertama USM berkoloborasi dengan syarikat korporat seperti Pacific West bagi mendekati pelajar universiti serta mensasarkan untuk memberi kesedaran dalam kalangan penduduk Pulau Pinang dan juga luar.
OAW merupakan program tahunan yang bermula pada tahun 2013 inisiatif dari Kelab Selam USM, yang mana kebanyakkan mereka merupakan pelajar Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia, (USM).
Quek pula berkata, sebagai penyelam dan juga pelajar biologi, ahli kelab sememangnya sangat rapat dengan pantai, lautan, hidupan akuatik dan sebagainya dan turut sedih apabila menyaksikan banyak kemusnahan dan kerosakan yang berlaku terhadap sumber semulajadi itu.
``Sebagai pelajar universiti, kami cuba untuk memberi kelainan dengan mempromosikan kempen kesedaran laut kepada orang ramai. Dengan mempamerkan kecantikan dan keistimewaan lautan, kami berharap orang ramai dapat mengubah sikap mereka dan melihat lautan dari sudut yang berbeza,’’ ujar nya lagi.
Dengan tema Endangered Marine Creatures and Marine Debris, program julung kali diadakan itu berperanan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjaga dan memelihara ekosistem marin, selain memastikan sumber-sumber lautan dapat dilestarikan untuk generasi masa hadapan.
Program itu turut mendapat sokongan penuh dari Marine Stewardship Council (MSC), MareCet, Save Our Seahorses (SOS) dan UKM Asian Youth Volunteer Programme (AYVP).
Sepanjang minggu tersebut, pihak penganjur akan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk Run for The Ocean, sesi ceramah oleh penceramah profesional dalam bidang pemeliharaan biodiversiti marin, tayangan dokumentari khas, program pembersihan pantai dan pelepasan anak penyu, pameran dan pelbagai lagi. Teks: Marziana Mohamad Alias/Shazreen Sahimi Foto: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1281