USM DAN OKB BANTU PESAKIT
WAKAF BHARU, KELANTAN 3 Februari 2015- Keluarga dan penerima sumbangan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Orang Kota Bharu (OKB) menzahirkan rasa terharu dan terima kasih atas sumbangan yang diterimanya baru-baru ini.
Bapa kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU), Rojis Denis berkata, sumbangan ini adalah amat bermakna kepada masa hadapan anak saya, terima kasihlah kerana sudi membantu.
Anaknya, Jane Vivian Rojih, 8, menghidap sejenis ketumbuhan daging bahagian tulang belakang sejak awal kelahiran lagi dan kini sukar berjalan dan berdiri, bertambah buruk sewaktu musim banjir tempoh hari kerana rumah mereka turut dinaiki air dan terpaksa berpindah selain daripada kesan perubahan cuaca yang sejuk yang berlaku.
Penderitaan yang ditanggung oleh anak gadis ini mendapat perhatian pihak OKB dan telah dirujuk kepada USM untuk membantu.
"Kita akan terus membantu meringankan beban Vivian," kata Timbalan Setiausaha Agung II, Persatuan OKB, Tan Chin Zhia.
Pakar Terapi Kesihatan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan, USM, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim pula memberitahu buat permulaan tumpuan adalah untuk membaikpulih sarung penyokong kaki Vivian supaya lebih selesa digunakan dalam urusan seharian dan proses pemantauan akan dijalankan secara berkala.
Vivian turut menerima sebuah kerusi roda untuk kegunaannya yang disumbangkan oleh pihak USM dan OKB yang akan diubahsuai mengikut saiz badan dan keadaan fizikal sebelum dapat diguna sepenuhnya.
Menurut Zulkifli juga, ini merupakan program pelopor untuk OKU dan orang awam yang disumbangkan oleh USM dan akan dijadikan aktiviti tetap Persatuan Cakna OKU PPSK, Kampus Kesihatan, USM yang baharu ditubuhkan.
"Kami ingin berkongsi kepakaran yang ada di universiti dengan masyarakat untuk kebaikan bersama," tambahnya lagi.
Hadir sama semasa kunjungan tersebut ialah Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Dr. Azreen Syazril Adnan, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr. Fauziah Jummaat, Pakar Bedah Urologi, Dr. Azhar Amir Hamzah, Ahli Jawatankuasa Persatuan OKB , Aw Twee Leng dan Tan Cheng Sim. Teks/Foto: Mohd Rodin Che' Yusoff, Kampus Kesihatan Suntingan: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1823