DUA PASUKAN USM MENANG PERTANDINGAN KESELAMATAN IT
PULAU PINANG, 2 Mei 2014 - Dengan 255 mata di hadapan, Pasukan N2L dari Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM) menjuarai F-Secure Inter-Varsity IT Security Competition 2014 yang dianjurkan oleh F-Secure dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 25 April lalu.
Pasukan N2L yang pertama kali mengambil bahagian dalam pertandingan ini terdiri daripada 3 orang pelajar tahun akhir Sains Komputer USM iaitu Lim Yen Sheng, 24, Lee Chi Ngan, 23, dan Law Jia Jge, 23.
“Kami sangat teruja dan gembira dengan kemenangan ini,” kata Lim Yen Sheng.
Tambahnya lagi, “kami telah membuat strategi yang baik sepanjang pertandingan ini dengan memastikan setiap orang bersedia sepenuhnya dalam kekuatan masing-masing untuk mengatasi bahagian yang kami agak lemah.”
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar berkenaan yang berjaya mengharumkan nama universiti selain pensyarah-pensyarah dari PP Sains Komputer yang telah membimbing mereka dalam cabaran pertandingan tersebut.
Menurut Omar, tujuan utama pertandingan ini ialah untuk mengembangkan bakat-bakat muda dalam kalangan pelajar ijazah pertama di negara ini untuk memasuki bidang keselamatan IT terutamanya melalui pendidikan.
Daripada 57 pasukan yang menduduki penilaian awal, 9 pasukan terpilih ke peringkat separuh akhir, termasuk dua pasukan dari USM iaitu N2L dan kumpulan “The Bounty Hunters” dan kedua-duanya memasuki peringkat akhir dengan cemerlang.
Kedua-dua pasukan ini dibimbing oleh para pensyarah iaitu Penyelaras F-Secure USM, Dr. Manmeet Mahinderjit Singh dan Profesor Madya Dr. Azman Samsudin. Pengurusan Pusat Pengajian Sains Komputer diwakili oleh Dr. Nurul Hashimah yang hadir memberikan sokongan kepada para peserta sepanjang pertandingan.
N2L membawa pulang tiga buah MacBook bernilai RM5,000 setiap satu sebagai juara setelah berjuang dalam menunjukkan kemahiran masing-masing selama 2 jam, manakala The Bounty Hunter yang menduduki tempat kedua menerima Miicrosoft Surface Tablet bernilai RM2,000 setiap satu manakala pemenang tempat ketiga Xposure memenangi hadiah jam tangan bernilai RM500 setiap satu di samping kesemua pemenang dihadiahkan dengan 1-tahun premium F-Secure Internet dan “Mobile security protection”. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: PP Sains Komputer
- Created on .
- Hits: 1120