USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAKAR KRIMINOLOGI DILANTIK SEBAGAI PENGARAH KESELAMATAN USM

IMG 4678

PULAU PINANG, 2 Mei 2014 - Pakar Kriminologi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy dilantik sebagai Pengarah Keselamatan, Jabatan Keselamatan USM bermula 2 Mei 2014 sehingga 31 Disember 2015.

Beliau menggantikan Timbalan Pendaftar Hj. Mhd. Ramli Mehat yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Keselamatan USM sejak Julai 2012 yang bersara wajib 30 April lalu.

“USM memandang serius pelbagai isu keselamatan yang ada termasuk dalam kalangan pelajar serta mengharapkan pelantikan P. Sundramoorthy dapat membantu memperkasakan lagi usaha yang dibuat,” kata Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika berjumpa Pengarah Keselamatan baharu itu di pejabat beliau pagi ini.

Kata Naib Canselor, dengan kepakaran dan pengalaman luas beliau, universiti berharap dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua kampus USM dan mewujudkan kesejahteraan yang sewajarnya.

Naib Canselor juga merakamkan penghargaan beliau atas kerja keras dan inisiatif yang dilakukan oleh Hj. Mhd. Ramli Mehat sepanjang menerajui Jabatan Keselamatan dan perkhidmatannya dengan USM.

USM turut menubuhkan Majlis Keselamatan dan Kesejahteraan Universiti (MKKU) yang dipengerusikan sendiri oleh Naib Canselor dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan universiti serta pelbagai pihak yang dapat memberikan pandangan dan cadangan untuk dilakukan penambahbaikan yang berterusan.

Sementara itu, P. Sundramoorthy menzahirkan penghargaan kepada Naib Canselor dan Universiti yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya untuk pemerkasaan keselamatan dan kesejahteraan universiti.

“Saya sedar tugas ini bukan mudah, namun saya akan berusaha untuk memastikan Jabatan Keselamatan dapat berfungsi dengan berkesan dan profesional untuk membolehkan kampus universiti sentiasa sejahtera kepada semua,” kata Sundramoorthy.

IMG 4682

P. Sundramoorthy mendapat ijazah pertama dalam bidang Criminal Justice dari St. Cloud State University Amerika Syarikat pada tahun 1985 dan memperoleh ijazah sarjana sains dalam bidang yang sama pada tahun 1989. Kemudiannya beliau melanjutkan pengajiannya di South Dakota State University Amerika Syarikat dan mendapat ijazah doktor falsafah dalam bidang sosiologi pada tahun 1993. Sekembalinya ke Malaysia, beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah USM pada Jun 1994. Pada tahun 2013, beliau menjadi Timbalan Dekan (Hal-Ehwal Pelajar dan Jaringan) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

Tiga bidang penyelidikannya yang utama ialah trend dan corak jenayah, isu-isu kritikal dalam kepolisan, dan persepsi awam terhadap jenayah, keselamatan dan polis.

Beliau terkenal sebagai pakar kriminologi yang mengetuai pasukan penyelidikan tentang Jenayah dan Kepolisan dan pakar dalam bidang Kriminologi untuk Majlis Penilaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta dalam pelbagai badan dan penyelidikan lain di negara ini.

Di samping itu, Sundramoorthy turut dijemput sebagai profesor kunjungan di University of Utah Amerika Syarikat dan Chubu University, Nagoya, Jepun.

Mulai Januari 2014, beliau dipilih sebagai Presiden Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran USM (PKAPUSM). - Teks: Mohamad bin Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2120

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024